Skuad baru FAP, 80% anak kelahiran Pulau Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Skuad bola sepak Pulau Pinang bakal menerima sentuhan samba daripada dua jurulatih dari Brazil bagi membantu menggalas  cabaran skuad itu pada saingan Liga Perdana musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, Jackson Ferreira Tiago dilantik sebagai Ketua Jurulatih,  dibantu rakan senegara, Amilton Da Silva Oliveira.

“Tiga jurulatih lain, Manzoor Azwira Abd. Wahid, Mohd. Hisham Jainuddin (Jurulatih Penjaga Gol) dan Leonardo Azevedo (Jurulatih Kecergasan) dikekalkan.

“Selain barisan jurulatih, FAP juga menamakan dua pemain import baru dari Brazil iaitu Reinaldo Rodrigues De Oliveira Lobo dan Alberto Concalus Da Costa serta mengekalkan dua pemain import sedia ada iaitu, Lee Gil Hoon (Korea Selatan) danHilton Mauro Moreira juga dari Brazil.

“Manakala 12 muka baru turut diserap dalam skuad Pulau Pinang antaranya Mohd.
Syukur Saidin (pemain tengah dari Sime Darby), Mohd. Azrul Ahmad (ATM), Mohd. Farid Ramli (Sime Darby), Mohd. Remezy Che Ros (PKNS), Mohd. Failee Mohamad Ghazali (Sime Darby) dan Mohd. Faiz Subri (Terengganu),” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco-exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Presiden FAP, Lawrence Law.

Menurut Nazir Ariff, penamaan senarai baru itu memperlihatkan 80 peratus pemain adalah anak kelahiran Pulau Pinang dan ianya diharap dapat melonjakkan semangat juang skuad ‘Harimau Kumbang’ untuk kelayakan Liga Super pada musim 2016 nanti.

“Musim ini, skuad kita menamatkan cabaran di tempat ketiga dalam persaingan Liga Perdana dan tersingkir di peringkat kumpulan Piala Malaysia yang membariskan skuad Johor Darul Takzim, Kelantan dan ATM.

“Jika dilihat senarai ini, sudah pasti skuad Pulau Pinang mampu menjadi pendahulu Liga Perdana musim depan dan menempa tempat bagi kelayakan Liga Super 2016,” jelasnya.

Sementara itu, Guan Eng turut mengumumkan pengiktirafan diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin sebagai penerima Anugerah Ten Outstanding Young Malaysian (TOYM) bagi kategori Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Pentadbiran di sini baru-baru ini.

Anugerah berprestij berkenaan disampaikan Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada penganjuran majlis khas oleh JCI.