Kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan tutup tirai sebulan sambutan pemashyuran MBSP

Admin

 

SEBERANG JAYA – Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan yang berlangsung di lobi Menara Bandaraya pada pagi ini merupakan acara akhir bagi sambutan selama sebulan sejak 16 September lepas, sempena penarafan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketika berucap, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod memberitahu dua acara tersebut merupakan sebahagian daripada acara tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), ke arah menjadikan ‘Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Hadapan’.

“Marilah kita sama-sama menjalankan tanggungjawab kita menderma darah…kerana setiap satu beg darah yang didermakan dapat menyelamatkan tiga nyawa.

“Cuba bayangkan sekiranya 100 orang yang menderma darah, dapat menyelamatkan 300 nyawa,” jelasnya dalam majlis perasmian program tersebut di Auditorium Menara Bandaraya dekat Bandar Perda pada 15 Oktober 2019.

Turut serta, Ahli Majlis bagi MBSP, Micheal Tan Cheong Heng; Ketua-ketua Jabatan, Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital Seberang Jaya, Dr. Abdul Hadi Che Zainol Ariff; Eksekutif Projek Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Nurul Husna Qaiyimah Ibrahim; dan Ketua Jururawat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Faizah Daud.

Selain itu, Rosnani turut memberitahu mitos kononnya berat badan akan bertambah jika menderma darah, adalah tidak benar sama sekali.

“Mitos itu adalah tidak benar, saya difahamkan sesiapa yang mendermakan darah dapat membakar sebanyak 650 kalori iaitu bersamaan 2 jam 30 minit melakukan aktiviti berbasikal, senam robik selama 1 jam 10 minit, dan ‘skipping’ selama 45 minit.

“(Ia,) sekaligus menolak spekulasi yang menyatakan bahawa aktiviti menderma darah boleh menyebabkan kegemukan,” jelasnya lagi.

Selain acara menderma darah, turut berlangsung di sini adalah Program Rintis Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA), Ujian Tekanan Darah dan Air Kencing dan sesi kaunseling kesihatan secara percuma.

Difahamkan, program derma darah yang dianjurkan di sini pada 28 Julai 2017 menerima penyertaan 220 penderma, diikuti 258 penderma darah pada 2 Ogos 2018.

Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dimashyurkan menjadi ‘Bandar Raya’ bermula sejak 16 September 2019, serentak dengan sambutan Hari Malaysia.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS