Kempen Kesedaran Kebersihan ke arah negeri Bersih dan Hijau pertama

Admin

Oleh : ZULIANA AZIZ

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh (kanan sekali) serta Yang DiPertua (YDP) MPSP, Maimunah Mohd. Sharif menunjukkan botol-botol yang berjaya dikumpul semasa Kempen Kesedaran Kebersihan di Hutan Lipur, Cherok To'Kun di sini baru-baru ini.
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh (kanan sekali) serta Yang DiPertua (YDP) MPSP, Maimunah Mohd. Sharif menunjukkan botol-botol yang berjaya dikumpul semasa Kempen Kesedaran Kebersihan di Hutan Lipur, Cherok To’Kun di sini baru-baru ini.

BUKIT MERTAJAM – Kempen Kesedaran Kebersihan yang diadakan di Hutan Lipur Cherok To’Kun anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini merupakan salah satu cara yang digunakan bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia.

Faktor kebersihan yang kurang memuaskan kerana kekurangan tong sampah, pencemaran air dan pembiakan nyamuk menyebabkan tempat rekreasi ini kerap dikritik oleh orang ramai dan sedikit sebanyak menjejaskan imej negeri ini di mata pelancong.

Lantaran itu, MPSP bertanggungjawab menjalankan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan tempat awam. Inisatif juga diambil dengan memperbanyakkan tong sampah sedia ada dan mengalu-alukan orang ramai yang mengunjungi hutan lipur ini supaya lebih berhemah dalam menjaga kebersihan.

Menurut jurucakap MPSP, Soon Lip Chee, setiap tahun pada bulan September, Kempen Kesedaran Kebersihan akan diadakan di lokasi pilihan sekitar kawasan Seberang Perai.

Kami berharap agar badan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan masyarakat dapat bekerjasama bagi menjayakan kempen ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Kempen yang diadakan di hutan lipur baru-baru ini melibatkan kira-kira 40 buah sekolah rendah dan menengah di Seberang Perai merangkumi hampir 800 peserta Pengakap dan Pandu Puteri.