Kempen kesedaran keselamatan jalan raya perlu berterusan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kempen kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya perlu dilaksanakan secara berterusan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan laporan oleh media disyaki bahawa beberapa penunggang motosikal yang digelar ‘mat rempit’ terlibat dalam perlumbaan.

 

(Hal ini) merupakan masalah sosial yang bukan sahaja melibatkan negeri Pulau Pinang malah Malaysia juga.

 

“(Dan) ia perlu diberi perhatian khususnya daripada segi kesedaran tentang bahaya apabila jalan raya digunakan untuk aktiviti perlumbaan sehingga mendatangkan risiko kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

 

“Saya percaya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sering mengambil tindakan penguatkuasaan untuk mengekang aktiviti sedemikian.

 

“Pada masa sama, kita tidak boleh mengharapkan penguatkuasa untuk berada di setiap tempat pada setiap masa.

 

“Justeru, kempen kesedaran (mengenai keselamatan jalan raya) perlu diadakan secara berterusan,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 20 Julai 2022.

 

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan berhubung kemalangan maut melibatkan beberapa buah motosikal yang dilaporkan berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pada Ahad lalu.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa ibu bapa juga perlu memainkan peranan dan bersama-sama memikul tanggungjawab dalam memastikan anak-anak tidak terlibat dalam aktiviti ‘tidak sihat’ tersebut.

 

Sangat mendukacitakan dan amat dikesali apabila kemalangan tersebut menyebabkan kehilangan nyawa anak-anak muda.

 

“Meskipun ada pihak yang mencadangkan supaya (mereka yang terlibat dalam) aktiviti ini diberikan hukuman lebih berat, namun pendekatan psikologi (dengan mengadakan kempen kesedaran) adalah perlu.

 

“(Hal ini kerana) aktiviti ini bukanlah suatu aktiviti yang digalakkan,” tegasnya.

 

Bercakap mengenai hasrat Kerajaan Negeri untuk membina litar khusus untuk sukan permotoran berdekatan Kompleks Sukan Batu Kawan, Kon Yeow memberitahu bahawa cadangan asal adalah untuk sukan ‘go-kart’.

 

Tahun lalu, Kerajaan Negeri (menerusi Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang) telah membuka RFP (permintaan cadangan) tetapi tidak ada syarikat yang berminat (untuk pembinaan fasiliti tersebut).

 

“Sekiranya aktiviti tersebut dianggap sebagai sukan, maka kajian semula perlu diadakan untuk menyediakan sebuah litar yang selamat dan bukannya menjadikan jalan raya sebagai tempat aktiviti sedemikian,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT