Kempen Kitar Semula Sekolah 2026 tawar hadiah bernilai RM20,000

Admin
edede690 5f01 44b8 b7fb 4ebb9cf4d2e5 DATUK Bandar MBSP (kanan) diiringi Setiausaha Bandaraya, Mohd. Ibrahim Md. Nor semasa mengendalikan Mesyuarat Bulanan Majlis di Menara Bandaraya MBSP, Seberang Jaya sebentar tadi.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama Fraser & Neave Holdings Bhd (FNHB) dan Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. kembali menganjurkan Program Kempen dan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah bagi tahun 2026.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, inisiatif tahunan tersebut bertujuan untuk terus meningkatkan pengetahuan, kesedaran serta membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah di sekitar Seberang Perai.

“Pertandingan ini akan mengambil kira berat barangan kitar semula yang berjaya dikumpulkan dan dijual oleh pihak sekolah melibatkan empat kategori utama iaitu aluminium, plastik, kertas dan kotak minuman.

“Tempoh pengumpulan akan bermula dari 1 Jun 2026 hingga 30 November 2026,” ujar beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis (MBM) di Menara Bandaraya MBSP di sini, sebentar tadi.

Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa pemenang pertandingan akan ditentukan berdasarkan berat per kapita melalui laporan jualan rasmi yang dikemukakan oleh pihak sekolah kepada MBSP.

Mengulas lanjut, Baderul Amin memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan tajaan hadiah bagi edisi kali ini bernilai RM20,200.

Daripada jumlah tersebut, katanya, FNHB menaja sebanyak RM18,800 merangkumi Hadiah Utama, Anugerah Khas Kutipan Plastik Tertinggi, Anugerah Khas Kutipan Aluminium Tertinggi dan Anugerah Khas Guru Pembimbing Terbaik, manakala Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. menyumbang RM1,400 bagi kategori Anugerah Khas Kutipan Kotak Minuman Tertinggi.

Selain merebut hadiah keseluruhan bernilai lebih RM20,000, Baderul Amin turut menyeru semua sekolah di Seberang Perai supaya mengambil peluang menyertai kempen berkenaan sekali gus menyokong agenda hijau Pulau Pinang ke arah negeri yang lebih bersih, hijau dan mampan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN