SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyasarkan penyertaan seramai 600 orang bagi program Sungai Perai Nature Walk 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun ini.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, program berjalan santai sejauh 5 kilometer (km) itu bakal bermula pada jam 7.15 pagi di mercu tanda Kuala Mengkuang, Kampung Kubang Semang, Seberang Perai Tengah (SPT).
“Acara akan bermula dari mercu tanda berkenaan menuju ke susur Jalan Arumugam Pillai sebelum peserta berpatah balik ke garisan penamat di lokasi yang sama.
“Untuk rekod, penganjuran tahun ini merupakan edisi keenam yang dianjurkan MBSP sejak mula diperkenalkan pada tahun 2018,” ujarnya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis di Menara Bandaraya MBSP, Bandar Perda di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa program tahunan tersebut bukan sekadar aktiviti riadah, malah turut membawa mesej penting berkaitan kelestarian alam sekitar dalam komuniti setempat.
“Penganjuran Sungai Perai Nature Walk ini bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Seberang Perai, di samping meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai serta memelihara alam semula jadi.
“Selain itu, program ini juga menjadi platform strategik untuk mengetengahkan aktiviti ekopelancongan.
“Pada masa sama, Sungai Perai dilihat sebagai antara mercu tanda yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan baharu di Seberang Perai,” katanya.
Justeru, beliau menyeru seluruh warga Seberang Perai yang berminat supaya segera membuat pendaftaran memandangkan slot penyertaan adalah terhad.
Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui platform digital di laman sesawang howei.com.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN