Kempen Tandas Bersih perlu komitmen rakyat – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kempen Tandas Bersih yang dilaksanakan Kerajaan Negeri saban tahun tidak akan berjaya secara holistik sekiranya tidak mendapat komitmen daripada rakyat di negeri ini sendiri.

“Masalahnya ialah mentaliti rakyat tidak banyak berubah, walaupun usaha-usaha sedang dibuat untuk  memperbaiki keadaan tandas di sini (Pulau dan Seberang Perai).

“Rakyat perlu komited untuk mengubah cara mereka,” ucapnya mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013 di sini baru-baru ini.

Pengerusi Perhubungan Awam bagi Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM), Sharifah Suzana Simmonds turut memberi penerangan khas mengenai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 19 November saban tahun sebagai Hari Tandas Sedunia.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, John Loo (Penasihat QRAM Pulau Pinang), Ar. Ang Aing Thye (Setiausaha bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP), Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Adi Kasuma Kailan (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Timur laut).

Kon Yeow berkata, tandas yang bersih sebenarnya adalah salah satu aras tanda (bench mark) bahawa rakyat di negeri ini benar-benar mempunyai mentaliti komuniti pintar bertaraf antarabangsa atau sebaliknya.

Dua klip video kempen kesedaran turut dilancarkan bersempena majlis sambutan kali ini.

Tidak cukup dengan itu, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan choral speaking pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa dekat Seberang Perai Selatan (SPS), iaitu johan Pertandingan Kokurikulum Akademik Kelompok R21.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut menyempurna majlis penyampaian sumbangan tunai kepada pemenang Pertandingan Tandas Bersih dalam lapan kategori, iaitu Jabatan Kerajaan, Restoran, Kedai Makanan, Stesen Minyak, Pusat Membeli Belah, Tandas Awam Milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.