Kerajaan Negeri iktiraf jasa Pandikar Amin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dikurniakan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Negeri Khas baru-baru ini.

Istiadat yang berlangsung di Seri Mutiara di sini itu disempurnakan Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas.

Pandikar Amin, 58, adalah penerima tunggal bagi gelaran tersebut dengan mendahului senarai 1,085 penerima lain sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Abdul Rahman pada 26 Ogos lalu.

Beliau ketika ditemui memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana mengamalkan satu demokrasi yang baik dengan mengiktiraf jasanya walaupun berlainan ideologi politik.

“Pengiktirafan ini mungkin kerana saya berjaya menghadapi tugas sukar dalam mengawal suasana Dewan Rakyat yang diketahui umum selalunya ‘panas’ dengan pelbagai isu,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawi dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dikurniakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) dikurniakan kepada Ketua Eksekutif Genting Hong Kong Limited,  Datuk Chua Ming Huat dan bekas Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Datuk Syed Farooq Syed Fadzil Bosri yang juga membawa gelaran Datuk.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.