Kemuncak musim durian dan cuti sekolah beri limpahan rezeki kepada peniaga

Admin

SEKIRANYA berhasrat merasai keenakan durian dari pokok berusia lebih 100 tahun, bolehlah berkunjung ke pondok Durian D Genting yang terletak di Jalan Teluk Kumbar – Balik Pulau berdekatan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).

Tinjauan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD ke Durian Bukit Genting pada musim cuti sekolah kali ini menerima kunjungan yang ramai setelah dua tahun melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kakitangan Durian D Genting, LOKMAN FAUZI berkata musim kali ini lebih baik kerana cuti persekolahan bertembung dengan musim durian.

 

“Tahun ini lebih baguslah dari dua tahun sebab musim durian dan cuti sekolah jatuh pada masa yang sama.

 

“Buah kali ini juga rasanya akan bertahan sampai Raya Haji, harap boleh bertambah rezeki kami.

 

“Kalau buah tidak habis pun kami sudah ada tempahan peraih untuk dibuat kuih dan bermacam-macam lagi produk berasaskan durian,” ujar beliau ketika ditemui hari ini.

Pemilik Durian Bukit Genting, MOHD. FODZI ISMAIL pula menyifatkan keberhasilan durian kali ini tepat pada masanya berbanding musim sebelumnya.

 

“Satu pagi sahaja durian yang dikutip boleh cecah lebih daripada satu lori.

 

“Bertambah kalut masa cuti sekolah, sampai kenduri-kendara pun habis saya lupa bila uruskan durian ini,” seloroh beliau sambil menerangkan mengenai pokok durian kampung miliknya yang berusi lebih 100 tahun.

Difahamkan kebun beliau mempunyai lebih 50 batang pokok pelbagai jenis yang turut diwarisi daripada generasi moyangnya.

Di Lim Brothers Orchard, pemiliknya, LIM CHIN WEI berkata kunjungan pada tahun ini banyak terdiri daripada pelancong dari luar Pulau Pinang.

 

“Kali ini cuti sekolah sangat ramai namun lebih kepada pelancong luar negeri Pulau Pinang.

“Sekarang harga durian juga sudah jatuh, jadi mungkin itu pu faktor ramai yang berkunjung ke Balik Pulau untuk makan durian,” jelas beliau yang sudah menjalankan perniagaan durian selama 60 tahun warisan daripada keluarganya.