Kerajaan Negeri, ATM sedia kolaborasi dalam aktiviti kemasyarakatan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri dekat pejabatnya di Komtar hari ini.

 

Pertemuan empat mata itu adalah bersempena lantikan Muhammad Huzaimi sebagai Panglima 2 Divisyen berpangkalan di Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak, Bayan Lepas pada November 2021.

 

Selain membincangkan isu-isu berkaitan kemudahan-kemudahan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdapat di Pulau Pinang, turut dibangkitkan adalah berhubung program serta aktiviti kemasyarakatan di bawah anggota keselamatan itu.

MUHAMMAD Huzaimi Sabri menandatangani buku pelawat di sini.

Menurut Muhammad Huzaimi, pihaknya bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program serta aktiviti yang melibatkan masyarakat.

 

“Kami di pihak ATM mempunyai program-program kemasyarakatan (selain rutin menjaga keselamatan dan mengawal aktiviti di sempadan).

 

“Di Pulau Pinang, kita mempunyai Rejimen 509 Askar Wataniah yang akan membantu dalam program (untuk mendekatkan diri dengan masyarakat).

 

“(Dan) pada masa sama, kami membuka peluang untuk menyertai Rejimen 509 sebagai anggota sukarela,” katanya.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow mengalu-alukan ‘platform’ untuk berkolaborasi dengan pihak ATM dalam program-program melibatkan masyarakat umum.

 

Kerajaan Negeri kini tekun memupuk semangat komuniti dan meningkatkan penyertaan mereka dalam program-program serta aktiviti yang dianjurkan pada peringkat setempat.

“Kuatnya sesebuah komuniti maka kuatlah sesebuah kerajaan itu dan sebaliknya, sebab itulah kita (Kerajaan Negeri) kini cuba meningkatkan penyertaan masyarakat (dalam program-program berkaitan kemasyarakatan) terutama pada peringkat komuniti setempat,” jelasnya yang turut menyentuh mengenai peranan yang dapat digemblengkan secara strategik bagi mencapai matlamat tersebut.

 

Mengakhiri pertemuan selama 20 minit itu, kedua-dua pihak saling bertukar cenderamata dan mengambil peluang merakam gambar sebagai tanda kenang-kenangan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD