Kenaikan fi jual arak, tiada aduan setakat ini – Exco

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

 

GEORGE TOWN – Kenaikan fi perkhidmatan, permit dan lesen menjual arak untuk semua kategori premis menjual arak sebanyak 100 peratus berkuatkuasa 1 Julai lalu adalah penyelarasan oleh Kementerian Kewangan mengikut Peraturan-peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) (Pindaan) 2014 di bawah Seksyen Akta Eksais 1976 (Akta 176).

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan , Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada sidang media di sini barubaru ini.

Menurutnya, kenaikan tersebut bagaimanapun diterima baik Persatuan Peniaga Arak Pulau Pinang kemungkinan disebabkan tiada sebarang kenaikan berkaitan dilakukan berpuluh tahun sebelum ini.

“Setakat ini, pihak kita (pihak berkuasa tempatan, PBT) tidak menerima sebarang aduan ekoran kenaikan tersebut.

“Semua peniaga telah diberikan sesi penerangan dan sedia maklum berhubung perkara berkaitan,” jelas beliau.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Azman Sirun.

Menerusi penguatkuasaan tersebut, kategori premis dikenakan kenaikan ialah lesen peniaga borong sebanyak RM90 sebulan dan lesen kedai runcit (RM70 sebulan).

Bagi kategori lesen rumah awam kelas pertama ialah RM220 sebulan, kelas kedua (RM160) dan kelas ketiga (RM110).

Turut mengalami peningkatan adalah lesen rumah bir (kelas pertama, kedua dan sementara) dan lanjutan sementara waktu buka untuk rumah awam iaitu RM60 tiap sejam dan rumah bir (RM30).

Dalam pada itu, tambah Kon Yeow, terdapat 703 premis menjual arak berdaftar di sekitar negeri ini.

“ Walaupun kenaikan tersebut ditentukan Kementerian Kewangan, tetapi hasil kutipan melalui kedua-dua PBT disalurkan kepada Kerajaan Negeri.“Kenaikan kadar 100 peratus ini akan meningkatkan jumlah kutipan sekali ganda berbanding tahun lalu (2013) iaitu sebanyak RM1.5 juta,” ujar beliau.