Tandas bersih mentaliti negara maju – TKM I

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Rakyat Pulau Pinang seharusnya mempunyai tahap kepedulian yang tinggi terhadap kebersihan tandas awam di negeri ini kerana mentaliti sebegitu adalah salah satu identiti warga negara-negara maju.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri amat menagih kerjasama dan bantuan rakyat di semua peringkat tanpa mengira latar belakang bangsa dan politik.

“Adalah tidak adil sekiranya kita (Kerajaan Negeri) membelanjakan wang rakyat bagi memberi kesedaran mengenai peri penting kebersihan tandas, namun, mentaliti masyarakat masih ditakuk yang sama,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dr. Hasnah Bibon turut hadir pada majlis disertai hampir 500 wakil daripada pelbagai badan berkanun dan agensi Kerajaan Negeri.

Kon Yeow sebelum itu berkata, dianggarkan lebih 40 peratus populasi penduduk dunia kurang mempunyai kemudahan tandas awam.

Kekurangan itu, jelas beliau, mengakibatkan kira-kira 2.6 bilion penduduk dunia terpaksa membuang najis secara terbuka, hingga mengakibatkan pencemaran alam sekitar serta mutu air sungai semulajadi.

“Akibatnya, merebaknya penyakit berkaitan air seperti diarrhea (cirit-birit), kolera (taun) dan dysentery (sakit perut kronik) yang boleh menyebabkan risiko kematian,” ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Tambah beliau, kira-kira 2.2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun direkodkan meninggal dunia setiap tahun disebabkan wabak-wabak berkenaan.

Pada majlis sama, Mohd. Rashid diiringi Kon Yeow turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan serta trofi kepada pemenang tandas awam paling bersih untuk lapan kategori yang dipertandingkan.

Antaranya, Klinik Kesihatan Penaga memenangi Kategori Jabatan Kerajaan, Harvest Time Cafe dekat Daerah Timur Laut (Kategori Restoran), Cafeteria A Tu Z Wedding House (Kategori Kedai Makan), Sarinani Kiosk Ent. dekat Daerah Timur Laut (Kategori Stesen Minyak), AEON Mall Bukit Mertajam (Kategori Pusat Membelibelah), Tandas Awam Pasar Air Itam (Kategori Tandas Awam Milik Pihak Berkuasa Tempatan), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang dekat Seberang Perai Utara (Kategori Sekolah Menengah) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tambun (Kategori Sekolah Rendah).