Kenderaan berat lebih lima tan dilarang menggunakan Jalan Chain Ferry pada waktu puncak

Admin

PERAI – Semua jenis kenderaan berat melebihi lima tan tidak dibenarkan melalui Jalan Chain Ferry bermula dari Persimpangan Jalan Assumption ke Persimpangan Jalan Baru terutamanya pada waktu puncak.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, larangan tersebut akan berkuatkuasa mulai 17 September ini yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di jalan terbabit yang berlarutan sejak sekian lama.

“Cadangan ini dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas dan Infrastruktur Seberang Perai pada 14 Februari 2014 dan diluluskan pada Mac tahun yang sama.

“Waktu yang tidak dibenarkan untuk dilalui kenderaan berat melebihi lima tan adalah pada waktu puncak iaitu dari jam 6.30 pagi sehingga 8.30 pagi dan 5.00 petang hingga 7.00 malam,” katanya pada sidang media di sini, 10 September lalu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) David Marshel.

Mengulas lanjut, kata Ramasamy, larangan berkenaan adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan (Akta 33) yang yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikompuan sebanyak RM300.

“Justeru, semua pemandu kenderaan berat melebihi lima tan dinasihati untuk menggunakan laluan alternatif isama ada melalui Plaza Tol Perai atau Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk ke Butterworth,” ujarnya lagi.

Teks & gambar : SUNARTI YUSOFF