P. Pinang gesa Pusat tangguh pelaksanaan EMC

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Kerajaan Pusat supaya mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan Komitmen Mandatori Majikan atau EMC yang mensyaratkan bayaran levi pekerja asing ditanggung sepenuhnya oleh majikan kepada sekurang-kurangnya ke tahun 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, persetujuan supaya Kerajaan Pusat mempertimbangkan penangguhan itu dibuat pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 11 Januari 2017.

“Melalui Mesyuarat Exco hari ini (11 Januari), Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyeru kepada (Kerajaan)  Pusat supaya menangguhkan dahulu arahan EMC ke suatu masa yang lebih sesuai memandangkan keadaan ekonomi Malaysia kini yang tidak menentu dan mencabar, ” ujarnya pada sidang media di sini.

Menurut Guan Eng, walaupun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan masih
percaya bahawa perjanjian perdagangan Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) akan diteruskan tanpa masalah, namun ia jauh dari hakikat sebenar.

“Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat) sudah beberapa kali mengumumkan untuk menarik diri daripada TPPA dan sekiranya Trump tidak meneruskan TPPA, maka takkan ada TPPA.

“Tetapi, kita ada Menteri yang masih percaya bahawa Trump akan teruskan (dengan TPPA) dan ini (kenyataan Ka Chuan) seolah-olah dia tersisih dari realiti,” ujarnya yng berharap agar Kerajaan Pusat sedia mempertimbangkan segala kemungkinan bagi menangguhkan pelaksanaan EMC sehingga keadaan ekonomi pulih semula.

Terdahulu, pada 31 Disember 2016, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  mengumumkan pelaksanaan EMC bakal dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2017.

Lanjutan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 11 Januari lalu mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaannya ke tahun 2018.

Perubahan dasar itu sekaligus memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar levi pekerja
asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan, penggajian sehinggalah pekerja asing tersebut dihantar pulang ke negara asal.