Anak muda pemacu kejayaan negara – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng percaya aspirasi kejayaan yang diletakkan kepada anak muda mampu memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju 60 tahun akan datang.

Kata beliau, dalam tempoh 60 tahun Merdeka, Malaysia telah berjaya kecapi banyak kejayaan, namun itu masih belum mencukupi.

“Saya percaya, Malaysia boleh buat lebih baik daripada sekarang sekiranya bergantung kepada rakyat biasa dan orang muda… bukan kepada satu dua individu tertentu yang hanya ingin berseronok dan menunjuk-nunjuk.

“Kita juga boleh lihat perubahan Pulau Pinang dalam tempoh lapan, sembilan tahun ini ke arah lebih baik, namun ianya juga masih belum cukup dan perlu lebih baik lagi,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pinang Fiesta 2017 anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ketua Pegawai Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang.

Guan Eng dalam pada itu turut menyeru anak muda agar mengambil contoh kejayaan atlet Malaysia, khususnya dari Pulau Pinang yang berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Pencapaian kita mencapai 78 peratus kejayaan apabila 55 atlet dari Pulau Pinang, 43 daripadanya memperoleh pingat iaitu 22 emas,
perak (7) dan gangsa (14).

“Ini membuktikan bahawa kita bukan jaguh kampung, tetapi jaguh antarabangsa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut memberikan bayangan bakal meneruskan penganjuran Pinang Fiesta tahun hadapan sekiranya
jualan usahawan muda mendapat sambutan menggalakkan.

Difahamkan PYDC dan MBPP memperuntukkan RM62,000 dalam menjayakan fiesta yang berlangsung selama tiga hari berkaitan.

Sebanyak 40 gerai jualan disediakan termasuk jualan makanan dan minuman, pakaian, aksesori, seni kraftangan, buskers serta persembahan artis-artis ternama tempatan.