Kepelbagaian masyarakat tidak seharusnya membawa perbalahan sebaliknya saling lengkap-melengkapi – TYT

SUNGAI DUA – Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 1440H/2018M disempurnakan Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Dengan mengangkat tema ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, sambutan pada tahun ini membawa mesej Islam sebagai agama Rahmatan Lil’Alamin.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, kepelbagaian masyarakat yang ada pada hari ini tidak seharusnya membawa kepada perbalahan, sebaliknya wajar bersifat saling lengkap-melengkapi dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Saya amat tertarik dengan tema pada tahun ini yang menggambarkan kepentingan dan memperkasakan hubungan sesama kita agar imej Islam sebagai agama yang membawa rahmat itu sentiasa disanjung tinggi sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

“Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri untuk memastikan amanah serta tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi ini telah kita laksanakan dengan sebaik mungkin,” ucapnya pada Majlis Perhimpunan Ummah Sempena Sambutan Maal Hijrah dekat Dewan Dahlia, Midtown Perda, di sini 11 September 2018.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang mengatakan, Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus menyokong serta menggerakkan usaha untuk memartabatkan agama Islam seperti mana yang terkandung di dalam manifesto pilihanraya lalu.

“Kerajaan Negeri akan mempergiat dan terus menyampaikan mesej Islam sebagai agama Rahmatan Lil’Alamin melalui pelbagai program seperti ceramah, forum dan sebagainya,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan turut hadir.

Majlis sebelum itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh johan Qari Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Pulau Pinang, Muhammad Siddiq Muhd. Rosli.

Turut diadakan adalah segmen perkongsian hijrah dipengerusikan Mohamad Nazri Rijal dengan menampilkan Datuk Badli Shah Alauddin dan Ustaz Don Daniel Don Biyajid sebagai ahli panel.

Dalam pada itu, Presiden IPSI, Kamaruddin Abdullah diangkat sebagai tokoh Maal Hijrah bagi negeri Pulau Pinang tahun ini.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF