Keputusan solat Jumaat dua sesi, ‘ikut tertib’ negeri masing-masing, respons Menteri Hal Ehwal Agama

Admin

TELUK AIR TAWAR – Keputusan solat Jumaat dua sesi yang telahpun dibincangkan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) akan dibawa ke peringkat negeri-negeri untuk dipertimbang dan dilaksanakan kelak.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat di sini pada 27 Jun 2020.

 

“Keputusan muzakarah peringkat kebangsaan sudah selesai, cuma daripada segi tertibnya keputusan itu kita (MKI) akan angkat kepada pihak berkuasa negeri; Tuanku Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri (TYT) untuk mereka sama-sama memutuskan.

 

“Hal ini kerana, bidang kuasa berkenaan penentuan solat Jumaat tertakluk pada negeri masing-masing…insyaAllah pada akhir bulan ini kita akan cuba mendapatkan keputusan Agong (bagi Wilayah Persekutuan) dan negeri-negeri lain ,” jelasnya selepas menyertai Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf Pulau Pinang Dan Majlis Penyerahan Bantuan Musa’adah COVID-19 di Pangsapuri Wakaf An-Nur dekat sini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long yang juga Setiausaha Majlis bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said dan Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali turut serta dalam acara berkaitan.

 

Pada 23 Jun lalu, dilaporkan, Dr. Zulkifli turut memberitahu bahawa hasil perbincangan MKI turut akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

 

Selain itu, beliau turut memberi respons mengenai pertikaian sesetengah pihak mengenai penyediaan tatacara operasi standard (SOP) bagi solat berjemaah di masjid termasuk solat Jumaat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat agak lambat dimulakan berbanding SOP operasi semula sektor-sektor tambahan berkaitan ekonomi.

 

“Tentang meninggikan syiar agama, proses itu dibuat secara tertib… mereka (pemerintah) nak buat keputusan pun macam negara kita ada majlis fatwa, tertib amat perlu.

 

“Alhamdulillah, dengan pembukaan masjid ikut SOP secara tertib seperti ini, normal baharu masyarakat boleh terima kita telah terselamat daripada wabak COVID-19, tak ada kluster jemaah masjid.

 

“Apabila dikatakan surau dan masjid dibuka ‘perlahan’ (untuk solat Jumaat), tetapi saya nak ingatkan jugalah mereka ini supaya datang (solat berjemaah) di masjid waktu Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh, sebab kadang-kadang kosong juga masjid dan surau,” jelasnya lagi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zakiyuddin sebelum ini mengumumkan bilangan jemaah untuk aktiviti di semua surau dan masjid di Pulau Pinang dibenar mengikut keluasan ruang premis ibadat terbabit berkuat kuasa 24 Jun 2020.

 

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang di-Pertua MAINPP memberitahu bahawa selain untuk solat fardu dan solat jenazah bukan COVID-19, ketetapan sama terpakai untuk aktiviti kuliah dan ceramah di surau serta masjid.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB