Pulau Pinang akan meneruskan sasaran RMM meskipun berdepan ketidakstabilan ekonomi akibat COVID-19 – Exco

Admin

BATU UBAN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menegaskan pihaknya akan meneruskan sasaran pembinaan 180,000 pelbagai rumah mampu milik (RMM) menjelang tahun 2030 meskipun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi semasa akibat daripada pandemik COVID-19.

Jelas beliau, sebaliknya RMM adalah perumahan paling sesuai dibina ketika keadaan ekonomi tidak menentu kini kerana ia sentiasa mempunyai kapasiti permintaan yang tinggi semenjak dahulu lagi.

“Seperti semua maklum bahawa Pulau Pinang meletakkan sasaran 180,000 unit pelbagai rumah mampu milik dapat dibina di negeri ini iaitu daripada perumahan kos rendah (KR) yang bernilai RM45,000 sehinggalah RMM berharga RM300,000.

“Akibat kesan daripada wabak COVID-19 mungkin ada sesetengah pihak berpendapat perlu untuk kecilkan sasaran pembinaan RMM tersebut, tetapi bagi saya sebaliknya… di mana kita (Pulau Pinang) akan tetap meneruskan usaha untuk mencapai jumlah unit yang disasarkan.

“Malahan, saya akan adakan mesyuarat lanjut dan berkemungkinan akan tingkatkan (sasaran) ia kerana kita tidak tahu kesan daripada pandemik COVID-19 ini terhadap ekonomi akan berlanjutan sampai bila,” ujarnya ketika melakukan pemantauan tapak projek perumahan mampu milik di Bayan Mutiara di sini pagi tadi.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali, wakil daripada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil-wakil daripada pihak pemaju, Asia Green Group.

Projek perumahan mampu milik berkeluasan 850 kaki persegi (kp) dekat The Zen, Bayan Mutiara di sini merupakan projek RMM berlandaskan garis panduan Kerajaan Negeri sepenuhnya yang dimajukan pihak swasta, Asia Green Group.

Menurut Jagdeep, keperluan terhadap RMM semakin tinggi dan ini dibuktikan dengan penjualan 1,200 unit RMM The Zen yang berharga RM300,000 telah habis dijual sepenuhnya.

“Ini menunjukkan betapa larisnya projek RMM, pemaju mungkin boleh bina rumah jutaan ringgit tapi ia susah untuk dijual disebabkan kuasa pembelian yang kurang tambahan pulak ketika situasi COVID-19 kini,” ujarnya sambil mengingatkan pemaju agar sentiasa menjaga kualiti RMM yang dibangunkan.

Mengulas lanjut mengenai pemantauan yang dijalankan pihaknya di tapak projek, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat secara keseluruhannya menzahirkan rasa puas hati dengan pematuhan SOP yang dipraktikkan pihak pemaju berkenaan.

“Secara dasarnya kita dapat melihat SOP lazim seperti pemeriksaan suhu badan dan sebagainya dipraktikkan di sini di dalam tempoh kebiasaan (normal) baharu.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa bukan sahaja di sini (tapak pembinaan), tetapi di seluruh Pulau Pinang untuk sektor pembinaan semua pekerja asing yang mencecah 13,000 orang telah berdaftar untuk ujian penyaringan COVID-19, di mana 80 peratus daripada telah menjalani saringan dan keputusan 100 peratus kesemuanya adalah negatif,” ujarnya lanjut yang juga merupakan pengerusi dua jawatankuasa Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNNPP).

Dalam perkembangan sama, Jagdeep terus mengingatkan rakyat agar meneruskan pematuhan SOP yang ditetapkan bagi semua sektor yang telah dibuka.

“Sehingga 26 Jun 2020 (semalam), MBPP telah memeriksa 169,875 premis di kawasan pulau di mana ia termasuklah tempat perniagaan, tempat awam dan tapak pembinaan. Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, didapati kadar pematuhan berada pada tahap tertinggi iaitu 99.67 peratus.

“Manakala, di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebanyak 309,779 premis telah diperiksa dan kadar pematuhan (99.26 peratus).

“Syabas, rakyat Pulau Pinang! saya yakin semua SOP yang diperkenalkan akan terus dipatuhi di dalam semua sektor yang telah dibuka,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : G. REVATIC