Kerajaan Negeri akan buat penilaian terperinci berhubung permohonan lot 7738 dan 7712 Ayer Itam – TKMI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan menimbang dan membuat penilaian terperinci berhubung permohonan lot 7738 dan 7712, Mukim 13, Ayer Itam di sini.

Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri perlu mengumpul lebih banyak maklumat sebelum sebarang kata putus diberikan ekoran ia kini menjadi pertikaian tiga pihak.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan menimbang semua permohonan tersebut dan akan menilai sewajarnya untuk kepentingan semua iaitu antara tujuan pendidikan atau kepentingan dan kegunaan orang ramai beriadah.

“Buat masa sekarang kita belum mencapai apa-apa keputusan dan sebarang kata putus belum diberikan kepada mana-mana pihak, ada benda-benda yang perlu dipertimbangkan selanjutnya.

“Kita perlukan lebih banyak maklumat untuk buat keputusan kerana masing-masingnya mempunyai keperluan tersendiri,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long.

Terdahulu, isu permohonan tanah lot tersebut mulai tular di media sosial apabila dikatakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengenepikan permohonan Kariah Masjid Bandar Baru Ayer Itam di sini untuk membina Sekolah Agama Rakyat (SAR) sejak beberapa tahun dahulu, tetapi telah memberikan kebenaran pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di atas salah satu lot berkaitan yang kini merupakan taman permainan dan kawasan riadah.

Sebagai rekod, lot-lot tanah tersebut merupakan milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin dan mengambil kira semua keperluan rakyat di negeri ini.

“Kedua-dua tanah ini lebih kurang empat hektar lebih sahaja, jadi kita tidak boleh penuhi keperluan semua pihak.

“Setakat ini, apa yang diluluskan adalah penukaran pemilikan tanah keseluruhan lot 7739 yang kini merupakan tapak Masjid Bandar Baru Ayer Itam dan parkirnya (sebahagian lot 7738),” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD