Pulau Pinang umum subsidi RM501,200 bantu keluarga B40, pengusaha TASKA terpilih

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan pemberian peruntukan sumbangan berjumlah RM501,200 dalam bentuk subsidi kepada anak-anak berusia di bawah 4 tahun daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) serta pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang layak di negeri ini.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng memberitahu bahawa dianggarkan 707 kanak-kanak akan menikmati skim subsidi RM50 tiap-tiap bulan.

Di bawah skim bantuan sama, menurutnya lagi, 77 pengusaha TASKA yang mengenakan yuran bulanan pada kadar maksimum sebanyak RM500, turut akan menerima insentif sebanyak RM1,000 secara ‘one-off’.

“Borang permohonan akan diedarkan kepada pengusaha TASKA yang dikenal pasti melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah mulai 6 Januari 2021.

“Permohonan yang lengkap perlu dihantar semula kepada JKM yang sama sebelum 29 Januari 2021,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam sidang media di Komtar pada 5 Januari 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Eng turut memohon Kerajaan Persekutuan melihat semula serta mencari jalan untuk menangani isu kekangan kewangan yang dihadapi oleh golongan B40 sehingga memaksa pekerja wanita meninggalkan kerjaya untuk memberi tumpuan pada jagaan anak-anak di rumah.

“Dalam situasi dunia pada hari ini, kedua-dua ibu dan bapa terpaksa mencari nafkah untuk menampung kelangsungan kehidupan harian,” jelasnya yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD