GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan menyokong inisiatif yang diusahakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu larangan rokok elektronik atau vape.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, pihaknya masih menunggu apakah tindakan selanjutnya daripada memorandum jemaah menteri berhubung perkara tersebut.
“Pulau Pinang sememangnya sedia untuk mengikut apa yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah KKM berhubung dengan isu ini.
“Sebelum ini kita telah umum, memang kita akan ikut garis panduan KKM berhubung dengan isu ini, tiada masalah, cumanya saya kini pun masih belum dapat maklumat yang terperinci berhubung kaedah dan juga bagaimana kita nak melaksanakan larangan tersebut.
“Namun demikian, perkara ini saya akan terus menggikuti perkembangan KKM untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya pada sidang media di Komtar di sini petang tadi.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mukhtar.
Pada sidang media sama, Zi Sen turut mengumumkan sambutan Majlis Penutup Sukan SEA & Upacara Penyerahan Bendera Peringkat Negeri.
Sambutan akan diadakan di Bayan Lepas Waterfront Foodie pada 20 Disember bermula jam 4 petang.
“Majlis ini diadakan secara simbolik berikutan Pulau Pinang juga akan menjadi sebahagian daripada tuan rumah Sukan SEA 2027.
“Para pengunjung akan disajikan dengan tayangan skrin besar siaran langsung dari Bangkok melibatkan Upacara Penyerahan Bendera Sukan SEA daripada Thailand kepada Malaysia.
“Program sampingan bagi memeriahkan majlis simbolik ini akan berlangsung bermula jam 4 petang hingga 10.30 malam, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan detik bersejarah ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Aktiviti sukan, sesi bersama bekas atlet dan pemenang pingat emas serta pertunjukan bunga api antara acara yang turut disediakan penganjur.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI