GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow mengalu-alukan sebarang penambahan peruntukan atau insentif kewangan daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk Geran Kapitasi yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.
Kon Yeow menyatakan bahawa beberapa pengumuman terkini oleh Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai perkembangan positif yang mampu membantu Kerajaan Negeri menambah sumber kewangan bagi tujuan pembangunan.
Menurut beliau, antara pengumuman tersebut ialah pemberian berkaitan sektor pelancongan yang sebelum ini memperuntukkan 50 peratus daripada kutipan fi hotel kepada negeri, namun kini ditingkatkan kepada 100 peratus.
“Selain itu, negeri juga dibenarkan mengambil duti hiburan, manakala peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) turut diperluaskan skopnya.
“Peruntukan MARRIS yang sebelum ini hanya digunakan untuk pemuliharaan jalan raya negeri kini boleh digunakan bagi kerja penyelenggaraan longkang di tepi jalan,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan istiadat mengangkat sumpah jawatan Exco baharu dekat Anjung Seri Mutiara di sini sebentar tadi.


Walau bagaimanapun, Kon Yeow menjelaskan bahawa jumlah tambahan yang bakal diterima oleh Kerajaan Negeri dijangka tidak terlalu besar.
“Kita akan meneliti terlebih dahulu jumlah sebenar yang akan diterima, mungkin bukan dalam jumlah berpuluh atau ratusan juta ringgit, tetapi mungkin sekitar RM10 juta hingga RM20 juta.
“Apapun, kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pengumuman ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berpendapat bahawa penstrukturan semula kewangan negara juga perlu dipertimbangkan bagi memastikan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat menggembleng sumber secara optimum untuk pembangunan negara.
“Setiap negeri tentunya mahukan lebih banyak peruntukan, tetapi kita juga memahami kekangan kewangan negara.
“Penambahan yang diberikan mungkin sekadar mengikut kemampuan semasa, namun yang penting ialah bagaimana peruntukan ini dapat menjana lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” ulasnya lanjut.
Kon Yeow turut menyatakan bahawa penambahan pelbagai pemberian oleh Kerajaan Persekutuan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban fiskal Kerajaan Negeri.
Pada 5 Mac lalu, Majlis Kewangan Negara (MKewN) bersetuju meningkatkan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri yang dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini daripada RM10.3 bilion pada 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa MKewN turut bersetuju menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, khususnya Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri dan agihan Cukai Pelancongan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT