Kerajaan Negeri anjur majlis berbuka puasa rai TYT, isteri

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan, kiri) dan isteri dengan diiringi Ketua Menteri (belakang, kiri) dan isteri serta pimpinan Kerajaan Negeri sebelum bermulanya majlis berbuka puasa di Hotel Eastern and Oriental di sini pada lewat petang ini.

GEORGE TOWN – Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang kelapan, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Seri Khadijah Mohd. Noor lewat petang ini berkenan menyertai majlis berbuka puasa yang dianjurkan Kerajaan Negeri.

Bertempat di Hotel Eastern and Oriental, majlis tersebut turut disertai Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, di Istana Negara pagi tadi menyaksikan Yang Dipertuan Agong berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan TYT kepada Ahmad Fuzi.

Selepas istiadat pengurniaan watikah tersebut, Yang Dipertuan Agong turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara kepada kepada Ahmad Fuzi yang membawa gelaran Tun.

Ahmad Fuzi yang juga bekas diplomat dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa esok sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah berkhidmat selama 20 tahun.

Acara majlis berbuka puasa pada malam ini di sini merupakan acara sulung anjuran Kerajaan Negeri yang disertai Ahmad Fuzi dan isteri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN