Kerajaan Negeri belanja RM240.3 juta selenggara skim perumahan negeri

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membelanjakan RM240.3 juta bagi tujuan penyelenggaraan skim perumahan awam dan swasta di negeri ini sejak 2008.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah itu termasuk penyelenggaraan skim perumahan awam sebanyak RM184.3 juta; Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang, TPM80PP (RM34 juta) serta skim di bawah seliaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (RM22 juta).

Jagdeep Singh Deo menyempurnakan penyerahan dua unit lif baru dekat Blok A, PPR Ampang jajar di sini.

“Perbelanjaan ini termasuklah pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan awam, pembaikan dan penggantian lif, pembaikan tangki air, penggantian bumbung rumah, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta pembersihan.

“Peruntukan ini menunjukkan prestasi Kerajaan Negeri bukan sahaja dalam pelaksanaan projek (perumahan) tetapi juga dalam aspek perbelanjaan yang mana setiap sen yang kita kutip dikembalikan kepada rakyat melalui projek-projek bermanfaat untuk mereka,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penyerahan lif baru dan kerja-kerja sampingan dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, di sini pagi tadi.

Hadir sama; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Roslan Ismail; Ketua Jurutera Mekanikal Negeri JKR, Mohd. Sallehuddin A-Ayubi Ali; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi serta Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga PPR Ampang Jajar, Robitah Yusoff.

Mengulas lanjut, mengenai projek penyelenggraan di PPR Ampang Jajar, Jagdeep berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM700,000 bagi tahun 2020.

“Kos ini adalah bagi melaksanakan kerja-kerja menambah alat pemadam api, pengujian dan penyelenggaraan sistem pam bagi tangki air, pemasangan CCTV serta penggantian pintu bilik utiliti.

PPR Ampang Jajar sehingg akini telah menerima peruntukan penyelenggaraan berjumlah lebih RM6.7 juta sejak 2008.

“Peruntukan ini tidak termasuk di dalam peruntukan RM6,763,117.39 yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008 sehingga tahun lepas khusus untuk penyelenggaraan di PPR Ampang Jajar yang memberi manfaat kepada lebih 606 penghuni di sini.

“Justeru, kita minta kepada penduduk agar bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan ini demi manfaat bersama,” ujarnya lagi.

Difahamkan, kerja-kerja penggantian dua unit lif di Blok A, PPR Ampang Jajar yang dimulakan pada 24 Februari 2019 telah siap sepenuhnya pada 5 Februari lepas dengan kos sebanyak RM580,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut memaklumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM23 juta kepada Pulau Pinang untuk penyelenggaraan perumahan awam di bawah Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

Sementara itu, Rozali memberitahu bahawa KPKT juga telah meluluskan 15 projek penyelenggaraan perumahan berstrata di bawah program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) 2020 bagi MBSP dengan peruntukan berjumlah RM3.3 juta.

“Peruntukan ini adalah untuk skim-skim perumahan swasta melibatkan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“(Dan) kesemua projek perumahan yang mendapat peruntukan pembiayaan ini adalah perumahan yang ada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC),” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS