Profesion berasaskan kemahiran mampu jana pendapatan lumayan – Exco

BATU LANCANG – Pelajar-pelajar di negeri ini disarankan supaya melihat profesion melibatkan kemahiran sebagai satu cabang kerjaya yang mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, walaupun profesion tersebut masih kurang diminat namun bidang berteraskan kemahiran dilihat amat menguntungkan pada masa kini.

 

“Menteri Sumber Manusia (M. Kulasegaran) turut menyeru semua pihak untuk menitikberatkan dan mengambil peluang yang boleh didapati melalui perindustrian yang berteraskan kemahiran.

 

“Dengan kemahiran, ia dapat menjana pendapatan yang lumayan bagi golongan pelajar mahupun pekerja.

 

“Hal ini kerana, golongan yang sudah bekerja atau sedang belajar boleh mengambil kesempatan untuk mengikuti kursus dalam bidang ini pada masa terluang,” ujarnya ketika berucap pada Program Belia Untuk Masa Depan: Bengkel Penerokaan Kerjaya 2020 dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Jelutong, Fadilah Salleh.

 

Mengulas lanjut, Lip Chee mnejelaskan bahawa bagi tahun 2019, sebanyak 104,000 jawatan baharu telah diwujudkan dalam sektor swasta yang mana 43 peratus daripadanya adalah melibatkan kategori mahir manakala 49.2 peratus (separuh mahir).

 

“49.2 peratus ini merupakan jawatan baharu dalam sektor perkhidmatan dan diikuti dengan 21.4 peratus bagi sektor pembinaan serta 18.4 peratus bagi sektor pembuatan.

 

“Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru para pelajar untuk terus berusaha mempelajari kemahiran-kemahiran yang baharu agar dapat memahami hala tuju sendiri dengan lebih efektif,” jelas ADUN Bagan Jermal itu lagi.

 

Tiga speaker yang terdiri daripada tenaga pakar dalam bidang masing-masing iaitu Kapten Syahril Akmar Suid (marin), Gary Lee (perindustrian) dan Dr. Luruthudass (perubatan) didatangkan khas untuk program tersebut.

 

Sementara itu, Ah Teong dalam ucapannya mengajak para pelajar SMK Jelutong untuk terus positif dalam mengejar cita-cita di masa hadapan.

 

“SMK Jelutong tidak kurang hebatnya, saya sendiri adalah bekas pelajar di sini, Ahli Parlimen (Jelutong) kita R.S.N Rayer dan tidak lupa Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik juga dari sekolah ini.

 

“Pelajar dari zaman saya juga sememangnya banyak yang berjaya dan terlibat dalam sektor profesional, jadi saya percaya para pelajar di hadapan saya ini juga mampu cemerlang dan membina kerjaya yang baik di masa hadapan,” ujarnya lagi

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ALISSALA THIAN