Kerajaan Negeri biaya RM4.5 juta projek pulihara Fort Cornwallis

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri) bersama-sama beberapa pemimpin Kerajaan Negeri melihat bahan-bahan artifak yang ditemukan di tapak arkeologi Fort Cornwallis dan dipamerkan di muziumlogi di sini tadi.

GEORGE TOWN – Wajah baharu Fort Cornwallis yang dikelilingi terusan air dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun 2024, dan jangka kembali dibuka kepada umum pada suku tahun berikutnya tertakluk kepada kerja-kerja pemuliharaan tapak warisan sejarah dunia itu berjalan lancar mengikut jadual pemajuan.

Setakat ini, kerja-kerja pemuliharaan semula 10 unit muziumlogi atau bangunan warisan tempat menyimpan khazanah sejarah purba di Fort Cornwallis siap sepenuhnya, dan dijangka akan dibuka kembali kepada pengunjung domestik dan pengembara antarabangsa pada akhir tahun ini.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa setakat ini, Kerajaan Negeri telahpun membelanjakan sebanyak RM4.5 juta dalam kerja-kerja memulihara semula bangunan muziumlogi tersebut dan dua fasa seterusnya, sementara RM1.3 juta lain dibiayai oleh Think City Sdn. Bhd..

“Projek pemuliharaan ini adalah melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Negeri melalui agensinya Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Think City Sdn. Bhd. dan Aga Khan Trust for Culture (AKTC) sebagai badan penasihat teknikal.

“Pastinya kerja-kerja pemuliharaan tapak warisan dunia di Fort Cornwallis selepas ini tertumpu pada dua fasa (berbaki) iaitu kerja-kerja mengembalikan semula parit terusan di utara (bangunan kota warisan) yang bertentangan dengan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dan kerja-kerja mengembalikan semula parit terusan di barat kota ini.

“Fort Cornwallis disenaraikan sebagai bangunan warisan Kategori 1 oleh Jabatan Warisan Negara dan bangunan ini merupakan antara struktur binaan tertua yang mempunyai nilai warisan (ketara) terutama di negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi selepas mengadakan jerayawara ke tapak kerja-kerja pemuliharaan tersebut di sini sebentar tadi.

RUANG dalam salah sebuah unit muziumlogi yang telah siap dipulihara dekat Fort Cornwallis di sini.
ANTARA barisan pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara jerayawara bersama-sama Ketua Menteri di perkarangan pintu masuk utama Fort Cornwallis di sini pada petang tadi.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan turut menyertai jerayawara tersebut.

Beberapa wakil Think City seperti Professor Ar. Laurence Loh (Pengarah), Francesco Siravo (Penasihat Teknikal), Santo Giovawwi (Pengurus Teknikal) serta Shaiful Shahidan (Pegawai Penyelidik dari Universiti Sains Malaysia, USM) dan Ain Ali (Pembantu Penyelidik USM) yang mengiringi barisan pemimpin Kerajaan Negeri serta memberi taklimat ringkas mengenai tahap pemajuan bagi kerja-kerja pemuliharaan sekitar tapak warisan dunia UNESCO tersebut.

DERETAN unit muziumlogi yang telah siap dipulihara daripada segi struktur fizikal bangunan di Fort Cornwallis.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut menjelaskan bahawa ketiga-tiga fasa pemuliharan sekitar Fort Cornwallis tersebut turut disenarai di bawah Rancangan Kawasan Khas (RKK) George Town atau George Town Special Area Plan.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar CMI, S. Barathi pula memberitahu bahawa kerja-kerja pemuliharaan serta mengembalikan semula parit terusan di utara dan barat Fort Cornwallis akan mengambil masa selama kira-kira dua tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025.

“Setakat ini, perbelanjaan sebanyak RM4.8 juta, di samping peruntukan untuk kerja-kerja pemuliharaan semula parit terus juga telahpun diluluskan (berjumlah RM7.2 juta).

“Proses tender akan dimulakan pada tahun ini juga, dan sekarang kita dalam proses melantik juru perunding dan Laurence Loh akan mengetuai jawatankuasa teknikal sebelum kerja-kerja tanah dimulakan nanti pada suku akhir tahun ini (2022).

“Kerja-kerja tanah berkaitan akan mengambil masa selama dua tahun, ertinya projek ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025,” ulasnya.

Difahamkan, kerja-kerja pemuliharaan semula dalam tiga fasa sekitar tapak Fort Cornwalli tersebut merupakan salah satu daripada 14 komponen projek di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang (Penang Northern Seafront Masterplan).

Di bawah pelan sama, satu komponen lain iaitu projek pengukuhan dan penambahbaikan tembok penahan ombak beserta sesiaran pejalan kaki sepanjang 570 meter (m) dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah baru-baru ini berjaya disiapkan dan kembali dibuka kepada umum.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI