Peruntukan tertinggi RM71.13 juta, prihatin perkembangan institusi pendidikan Islam

Admin

GEORGE TOWN – Demi kepentingan syiar Islam di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM71.13 juta demi pembangunan institusi berkaitan bagi tahun 2022.

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, peruntukan tersebut merupakan jumlah terbesar dalam tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang.

 

“Saya rasa peruntukan sebanyak RM71.13 juta adalah antara yang paling besar dalam sejarah pemerintahan Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

 

“Malah, saya juga percaya sekiranya dibandingkan dengan pemerintahan dahulu (sebelum PH), inilah peruntukan yang paling tinggi juga,” ujarnya pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Balai Polis Central di Pusat Belia Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Lebuh Acheh di sini malam tadi.

 

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohammad Hanif Omar@Wahab;  Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong; Ketua Balai Polis Central, Inspektor Firdaus Ishak dan Pengerusi & Pengelola KAFA, Sarjan Abdullah Haji Abdul Rahman.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri prihatin dengan perkembangan institusi pendidikan Islam seperti kelas KAFA, Mahad, sekolah rendah, pondok tradisional dan  Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berjumlah 334 buah di seluruh Pulau Pinang ini.

 

“Saya percaya institusi pendidikan Islam mampu berkembang dan melahirkan cerdik pandai untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi bagi menjadi pakar serta professional di bidang masing-masing.

 

“Ini adalah bagi memberi sumbangan tenaga dalam bidang sains, pendidikan budaya, perniagaan serta keselamatan, dan Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada institusi-institusi Islam bagi membolehkan mereka mencapai prestasi lebih baik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN