GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus mempamerkan prestasi fiskal yang cemerlang apabila berjaya mencatatkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan lebihan semasa mencecah RM93.17 juta setakat 13 Mei 2026.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapan penggulungannya menegaskan bahawa pencapaian tersebut adalah hasil daripada disiplin kewangan yang ketat dan pengurusan hasil yang cekap, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi negeri di tengah-tengah cabaran global.
Berdasarkan Penyata Akaun Hasil Disatukan (AHD), beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata Kerajaan Negeri telah mengumpul jumlah hasil sebanyak RM403.39 juta yang meliputi hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil.
Manakala dari aspek perbelanjaan pula, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kekal berhemat dengan jumlah perbelanjaan mengurus sebanyak RM310.22 juta.
“Keadaan ini menunjukkan disiplin fiskal yang berterusan dalam memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara terkawal dan berhemah bagi memastikan kelestarian baki akaun negeri,” ujarnya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 14 Mei 2026.
Menjawab isu penyaluran semula hasil kepada rakyat terutama berhubung semakan kadar cukai tanah, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya memberi jaminan bahawa setiap sen tambahan yang diperoleh akan disalurkan semula demi manfaat awam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya komited memastikan pengukuhan hasil negeri diterjemahkan secara langsung kepada manfaat rakyat melalui pemerkasaan empat sektor strategik utama, seperti berikut:-
* Pembangunan Infrastruktur:
Memastikan penyediaan kemudahan awam yang lebih berkualiti, moden, dan efisien untuk kegunaan rakyat.
* Pemerkasaan Sosial:
Menjamin kesinambungan program kebajikan ikonik seperti i-Sejahtera serta meningkatkan kecekapan pengurusan bencana di seluruh negeri.
* Sokongan Ekonomi:
Memberi tumpuan kepada pemerkasaan sektor industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta memacu inisiatif pelaburan yang mempunyai nilai tambah tinggi.
* Kelestarian Hijau:
Mengutamakan langkah-langkah kecekapan tenaga bagi menyokong agenda pembangunan mampan negeri.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri tidak memperuntukkan hasil tambahan kepada satu inisiatif khusus secara tunggal, sebaliknya dana tersebut disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk diagihkan secara strategik berdasarkan keutamaan semasa.
“Dalam membuat setiap keputusan dasar, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara memperkukuhkan kewangan negeri dengan kemampuan rakyat menghadapi kos sara hidup.
“Prinsip ini menjadi asas supaya pembangunan negeri mampan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat,” tegasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN