Kerajaan Negeri harap diberi pelepasan cukai SST, lebihan tunai disalur untuk projek rakyat

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri boleh memohon untuk diberi pengecualian cukai jualan di bawah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) seperti yang termaktub di dalam Akta Cukai 2018.

“Semasa pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), tiada sebarang pengecualian cukai diberikan kepada Kerajaan Negeri.

“Sehubungan itu, sekiranya pelepasan cukai ini (SST) diberikan maka dari segi impak kewangannya, Kerajaan Negeri dapat menjimatkan perbelanjaan dan mempunyai lebihan tunai,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz pada sesi perbahasan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

Justeru, kata Kon Yeow, lebihan tunai tersebut dapat disalur bagi membangunkan pelbagai projek tambahan untuk manfaat dan kesejahteraan seluruh penduduk di negeri ini.

Terdahulu, Azrul dalam soalan lisan membangkitkan mengenai impak kewangan yang dirasai oleh Kerajaan Negeri sebaik sahaja GST dimansuhkan dan diganti dengan pelaksanaan SST sejak 1 September 2018.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS