Kerajaan Negeri harap penglibatan khusus rakyat dalam merangka SAP UNESCO George Town

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLAN Malaysia) mahu rakyat Pulau Pinang untuk terlibat secara khusus dalam merangka Rancangan Kawasan Khas UNESCO George Town (SAP).

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, pendapat rakyat dalam memelihara dan mengekalkan status warisan UNESCO adalah menjadi keutamaan.

“Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan pelihara dan jaga status kita sebagai satu kawasan UNESCO yang telah diiktiraf dunia, itu kita tidak akan kompromi.

“Untuk itu, kita perlu lihat semua rancangan SAP tersebut, kita (Kerajaan Negeri) akan meminta pandangan orang awam, itu selalu kita buat, sama macam SAP Bukit Bendera yang diadakan sebelum ini.

“Objektif utama SAP ini adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang, justeru, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan semua,” ujar beliau ketika berucap pada sidang media sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di Komtar hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Pengarah PLAN Malaysia Pulau Pinang, TPr. Norbi Desa; Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi dan Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee.

Zi Sen ketika berucap berkata dokumen SAP amat penting bagi perancangan bandar serta menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri mendapatkan penglibatan rakyat dalam memelihara status bandar warisan dunia UNESCO.

“Apabila melibatkan orang awam, kita dapat meningkatkan lagi keberkesanan SAP, sekaligus mewujudkan pembangunan mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Norbi menyifatkan SAP juga amat penting bagi merancang pembangunan mampan George Town daripada sudut ekonomi.

Tambah beliau, draf SAP perlu disiapkan pada April 2021 dan PLAN Malaysia Pulau Pinang akan menyediakan platform dalam talian sebagai medium sumbangan idea berkaitan dalam masa terdekat.

“Kita berada pada fasa satu, draf sepatutnya disiapkan September lepas, namun ditangguhkan ke April 2021.

“Sebaik sahaja SAP siap (April 2021), ianya akan dipaparkan dalam talian kepada umum dan orang ramai boleh beri pendapat untuk penambahbaikan,” maklum Robi.

Difahamkan, SAP sebelum ini dibuat pada tahun 2016 dan perlu ‘diperbaharui’ sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI