Kerajaan Negeri hargai peranan, sumbangan NGO bantu komuniti setempat

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menghargai penglibatan, peranan dan sumbangan yang digemblengkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu komuniti setempat dan golongan memerlukan.

KETUA Menteri dan Teh Lai Heng (berkemeja putih) menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada salah seorang penerima pada majlis berbuka puasa di sini.

Perkara itu dizahirkan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri 2023 dan Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Setempat Tahun Ke-7 yang diadakan di Bangunan Kesatuan Muslim Bersatu (UMA) dekat sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh NGO terbabit bukan sahaja membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030 tetapi juga telah mengeratkan hubungan silaturrahim dalam komuniti khasnya.

Seperti tahun sebelum ini, saya akan mengambil peluang untuk beriftar bersama-sama masyarakat kerana saya percaya amalan iftar seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan sesama kita tanpa mengira agama dan bangsa.
KETUA Menteri bersama-sama pimpinan Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil pada majlis berkaitan di sini.

“Selain itu, saya juga percaya bahawa kejayaan dalam melaksanakan inisiatif dan program-program kebajikan oleh pertubuhan serta persatuan berkaitan dapat dijadikan contoh kepada anak-anak muda untuk meneruskan usaha tersebut.

“Sekali gus ia menjadi dorongan dalam mencontohi pimpinan pertubuhan serta persatuan untuk terus berjaya dan menyumbang bakti dalam pembangunan negeri ini,” ujarnya sambil memuji Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil (PKWLT) atas penganjuran majlis berkaitan.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan pemberian tunai dan duit raya sempena Aidilfitri kepada 160 penerima dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), asnaf dan kanak-kanak.

“Semoga pemberian bantuan ini daripada pihak penganjur dapat membantu meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada semua penerima,” katanya.

ANTARA penerima bantuan Aidilfitri.

Turut diraikan, para pelajar tahfiz yang dijemput untuk mengimarahkan majlis berbuka puasa pada hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; Pengerusi PKWLT, Mohamed Asri Seeni Mohamed; Penaung PKWLT, Mohamed Azmin Seeni Mohamed; Timbalan Pengerusi PKWLT, Mohamed Sherif Ibrahim Abdul Karim; Naib Pengerusi PKWLT, R. Senthel; Setiausaha Kehormat PKWLT, Noor Mohamed SPK Mohd. Abdullah; Penasihat PKWLT, Datuk Mohamed Yusof Ibrahim dan Datuk Mohamed Nazri Sheik Osman serta wakil-wakil daripada pertubuhan serta persatuan berkaitan antara kenamaan yang hadir.

KERIANGAN jelas terpancar pada wajah anak-anak kecil ini apabila menerima duit raya daripada Ketua Menteri.

Ayam masak merah Penang, kambing masak hitam, nasi tomato, raita bawang dan air kelapa sarbat antara menu berbuka puasa pada hari ke-16.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN