Agong, Raja Permaisuri berangkat pulang ke ibu negara

Admin
SEBELUM berangkat pulang, Yang Dipertuan Agong (kiri) saling bersalam dengan Ketua Menteri (kanan) sambil disaksikan oleh TYT di Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Bayan Lepas pada 8 April 2023.

BAYAN LEPAS – Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke ibu negara hari ini selepas selesai mengadakan lawatan kerja sekitar negeri Pulau Pinang di sini selama tiga hari.

Keberangkatan pulang Seri Paduka berdua di Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Bayan Lepas pada kira-kira 11.50 pagi dengan menaiki Pesawat Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.

Yang Dipertuan Agong (kiri) dengan diiringi Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menuju ke Pesawat Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku di sini tadi.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak serta isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor dan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta isteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee mengiringi keberangkatan pulang Seri Paduka berdua.

Turut mengiringi, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta isteri, Datin Mohaini Mohd. Saffar; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta isteri, Puan K. Kalaiarasi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar serta isteri, Datin Zuraida Dahari dan Panglima Divisyen Kedua Iftantri Malaysia (2 Divisyen), Mejar Jeneral Datuk Haji Muhammad Huzaimi Sabri.

BARISAN pemimpin negeri melambaikan tangan atas keberangkatan pulang Seri Paduka berdua tadi.

Pada 6 April lepas, Seri Paduka berdua mencemar duli ke Majlis Santapan Berbuka Puasa bersama-sama TYT dan isteri serta barisan pemimpin Kerajaan Negeri di Anjung Mutiara.

Pada hari kedua lawatan kerja iaitu pada 7 April, Seri Paduka Yang Dipertuan Agong mencemar duli ke Majlis Perasmian Masjid Jamek Ar Rahmani Pokok Sena serta menyertai Solat Jumaat di sana.

Pada hari kedua lawatan kerja juga, Seri Paduka Raja Permaisuri Agong mencemar dulu ke Majlis Perasmian Pusat Jagaan Darul Hanan dekat Kepala Batas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING