Kerajaan Negeri hari ini begitu jaga orang Islam – KM

Admin
KETUA Menteri berjabat tangan dengan Abdul Walid Abu Hassan pada program Ihya Ramadan & Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Kepemimpinan Kerajaan Negeri di perkarangan Masjid Jamek Sungai Gelugor di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SERI DELIMA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembangkang di negeri ini sepatutnya melihat pemajuan Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang dijangka siap pada tahun depan sebagai ‘tembok keadilan’ sebagaimana yang pernah dibina di bawah pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz dahulu.

Justeru, Guan Eng menasihatkan pemimpin tertentu pembangkang supaya tidak menggambarkan pentadbirannya begitu melebihlebihkan kepentingan umat Islam berbanding Kerajaan Negeri sebagai dikuasai Barisan Nasional (BN) dulu.

“Kerajaan Negeri menawarkan sebidang tanah (berkeluasan) kira-kira 3.49 ekar bernilai kira-kira RM80 juta dekat Jalan Scotland atas dasar keperluan umat Islam iaitu selepas Kerajaan Pusat sendiri (pada tahun 2012) mengeluarkan peruntukan (RM36.5 juta) untuk membina kompleks baru itu.

“Parti lawan tak perlu menyerang saya kononnya pemberian tanah ini menunjukkan Kerajaan Negeri hari ini begitu menjaga orang Islam sahaja, tidak seperti Pulau Pinang semasa di bawah Gerakan.

“Saya harap kompleks yang sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun (iaitu) sekarang ini, dapat disiapkan secepat mungkin,” nasihatnya dalam ucapan perasmiannya baru-baru ini dengan tanpa menyebut nama pemimpin pembangkang yang dimaksudkan itu.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudyaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian dalam program Ihya Ramadan & Majlis Berbuka Puasa Bersama- Sama Kepemimpinan KerajaanNegeri di perkarangan Masjid Jamek Sungai Gelugor di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, inisiatif memartabatkan Islam di negeri ini dapat dilangsungkan antaranya disebabkan syor berwajib daripada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS).

“Abang Mohamad Sabu selalu nasihat saya, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah membina ‘tembok keadilan’ atas dasar ada keperluan rakyat, jangan (membina) tembok besar-besar,” seloroh Guan Eng.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Prof. Madya Dr. Fadhullah Jamil turut berucap pada majlis tahunan Kerajaan Negeri peringkat pulau tersebut.

Turut hadir Timbalan Yang di- Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Maktar Shapee, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), R.S.N. Rayer (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Seri Delima), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) dan Ramkarpal Singh Deo (Ahli Parlimen Bukit Gelugor).

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Abu Jamal Nordin, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Pulau Pinang), Datuk Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang) dan Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP).

Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr. Danial Zainal Abidin turut menyampaikan tazkirah Ramadan mengenai manfaat puasa pada kesihatan tubuhbadan di depan lebih 300 hadirin.