Kerajaan Negeri janji sentiasa peka masalah rakyat dan kekal sebagai sebuah kerajaan pro rakyat – Kon Yeow

Admin

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berjanji akan kekal menjadi sebuah kerajaan pro rakyat yang sentiasa peka akan masalah rakyat kebanyakan di negeri ini.

Ikrar tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di hadapan kira-kira 1,200 tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Bukit Gelugor di sini malam ini.

Kon Yeow berkata, program mesra rakyat seperti jamuan Aidilfitri berkenaan adalah acara lazim yang dilaksanakan oleh semua wakil rakyat PH di Pulau Pinang pada setiap musim perayaan.

“Program seumpama ini adalah lazim kerana kita nak semua wakil rakyat mesra rakyat.

“Bukan sahaja pada musim-musim perayaan, tetapi wakil rakyat di Pulau Pinang perlu sentiasa menganjurkan program serta aktiviti kemasyarakatan, kerap melakukan lawatan setempat dan pelbagai lagi.

“Melalui program-program sedemikian, diharap jalinan antara pemimpin dan rakyat di Pulau Pinang akan sentiasa utuh kerana wakil rakyat merupakan perantara di antara pihak Kerajaan Negeri dan juga rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor selaku tuan rumah, Ramkarpal Singh; Yeoh Soon Hin (Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan merangkap ADUN Paya Terubong);
Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang) dan Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam).

Uniknya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tersebut adalah ia bukan sahaja meriah dengan kehadiran pelbagai peringkat umur dan bangsa, malah seluruh ahli-ahli jawatankuasa penganjur segak mengenakan baju teluk belanga dan kurung berona ungu sedondon.

Selain disajikan dengan pelbagai menu tempatan, pengunjung turut dihiburkan oleh kumpulan busker yang dijemput khas.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memanjangkan harapan tersebut kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh Pulau Pinang agar melakukan perkara sama ketika berurusan dan berhadapan dengan rakyat.

Menurutnya, MPKK adalah pemimpin tempatan di peringkat akar umbi yang paling dekat dengan rakyat selain wakil rakyat, oleh itu mereka perlu lebih sensitif serta ambil berat terhadap kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan.

“Anda lebih dekat dengan rakyat dan memahami isu-isu setempat dan segala kesulitan yang mungkin dihadapi di kawasan masing-masing.

“MPKK akan membantu wakil rakyat dan juga ahli majlis untuk membawa isu-isu yang perlu ditangani serta diselesaikan.

“MPKK adalah wakil rakyat kecil yang dikhususkan untuk sesebuah kawasan, justeru jadilah MPKK yang aktif dan sentiasa membantu masyarakat,” seru beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN