Kerajaan Negeri hasrat bangunkan semula industri pendaratan ikan tuna – Exco

Admin

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi perikanan bakal menggembleng tenaga memperkasakan semula sektor pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang, ujar Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Menurut Afif, sektor tuna mempunyai potensi dan mampu membawa pulangan yang sangat lumayan kepada penggiat industri tersebut.

“Kita (Kerajaan Negeri) berhasrat untuk membangunkan semula industri tuna ini dan semua agensi berkaitan perlu bersama-sama mengembleng tenaga menjayakannya.

“Usaha ini juga diharap mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat kerana ia sememangnya berpotensi dan pelabuhan kita (Pulau Pinang) juga telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) untuk mendaratkan tuna.

“Saya yakin industri ini mampu memberikan satu pulangan ekonomi yang baik kepada golongan muda di mana secara tidak langsung ia menyediakan peluang pekerjaan baharu,” ujar beliau sambil memaklumkan bahawa industri tuna pernah bertapak di Pulau Pinang suatu masa dahulu yang kemudiannya terpalit dengan isu projek gajah putih.

Hadir sama Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar.

Sebelum itu, Afif hadir bagi menyerikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan Penyerahan Speks Akuakultur dan Biosekuriti Pejabat Perikanan Pulau Pinang dekat Jalan Akuarium semalam.

Pada majlis tersebut juga, Afif meluangkan masa menyampaikan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) kepada lima penternak.

“Setakat ini, seramai lima orang penternak telah layak menerima insentif ini yang keseluruhannya bernilai RM123,085 dan saya difahamkan jumlah ini akan bertambah lagi selepas ini kerana pertambahan permohonan.

“Bagi menggalakkan penternak dan nelayan memperolehi sijil-sijil ini, kerajaan telah beri insentif galakan berupa speks kepada semua penternak dan nelayan yang ingin memohon persijilan ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Sementara itu, Noraisyah dalam ucapannya memaklumkan bagi tahun 2018, pengeluaran ikan makan untuk negeri Pulau Pinang adalah berjumlah 21.2 juta tan metrik dengan nilai RM1,225.72 juta yang meliputi sub sektor perikanan tangkapan iaitu 54.69 ribu tan metrik (RM522 juta).

“Manakala sumbangan sub sektor akuakultur pula jelasnya, mencatat 21.17 juta tan metrik bernilai RM702.2 juta,” ujarnya ringkas.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI