Kerajaan Negeri komited kekalkan harga rumah mampu milik

Admin

TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengekalkan harga siling bagi rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik pada harga sehingga RM300,000 di bahagian pulau dan RM250,000 di Seberang Perai.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, meskipun di kebanyakan negeri mula menaikkan harga siling bagi projek perumahan mampu milik, Pulau Pinang mengambil pendirian untuk mengekalkan had harga.

 

“Di Pulau Pinang, rumah kos rendah ditawarkan pada harga RM42,000 tetapi di negeri lain telah naik sehingga RM60,000, begitu juga bagi jenis perumahan lain.

 

“Tetapi kita (Pulau Pinang) mahu kekalkan malah ada yang diturunkan (harga) dan jadikan rumah mampu milik lebih mampu dimiliki,” katanya sejurus mengadakan tinjauan di tapak pembinaan Pangsapuri Warisan Tanjung dekat sini pagi ini.

JAGDEEP Singh Deo (tiga dari kiri) bersama-sama delegasi Bahagian Perumahan dan Uda Holdings Berhad meninjau rumah siap di sini, pagi ini.

 

Turut sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Dasar & Pembangunan), Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi Uda Holdings Berhad, Zainudin Deni selaku pemaju serta beberapa wakil daripada Bahagian Perumahan dan pemaju.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meletakkan sasaran untuk menyediakan 180,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat menjelang tahun 2030.

 

“Sasaran ini adalah selaras dengan hasrat kita (Kerajaan Negeri) untuk memberi keutamaan dalam perbekalan rumah mampu milik di negeri ini.

 

“(Dan) sehingga hari ini sejumlah 102,335 unit rumah telah dibina, sedang dibina dan mendapat kelulusan untuk dibina,” ujarnya.

REKA bentuk Pangsapuri Warisan Tanjung.
KEDIAMAN Pangsapuri Warisan Tanjung yang berkeluasan 800 kaki persegi.

 

Terdahulu, Jagdeep meninjau tapak pembinaan Pangsapuri Warisan Tanjung bagi penempatan semula penduduk di Kampung Tanjung Tokong.

 

 

Difahamkan, projek tersebut mempunyai dua fasa yang akan menyediakan 1,200 unit rumah berkeluasan antara 800 kaki persegi (k.p) sehingga 850 k.p serta dijangka siap hujung tahun ini.

 

Menjawab pertanyaan wartawan, Jagdeep berkata Kerajaan Negeri menyediakan rumah kos rendah pada harga yang telah ditetapkan iaitu RM42,000 dan bagi kos sederhana rendah, RM72,500.

 

“Sekiranya pembeli membayar harga yang lebih mahal disebabkan pakej tambahan yang ditawarkan oleh pihak pemaju seperti pemasangan jubin, tempat letak kereta tambahan dan kelengkapan lain, Kerajaan Negeri tiada halangan kerana ia persetujuan antara pembeli dan pemaju.

 

JAGDEEP Singh Deo ketika mempengerusikan sidang media sejurus lawatan tapak di Pangsapuri Warisan Tanjung dekat Tanjung Tokong pagi ini.

“(Dan) pihak pemaju tidak boleh memaksa pembeli untuk mengambil pakej tambahan yang ditawarkan, sekiranya terjadi boleh membuat aduan kepada Bahagian Perumahan dan pihak pemaju perlu menjelaskan tindakan mereka,” tegasnya.

 

Jagdeep memberi respons terhadap kenyataan pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader yang mendakwa pembeli rumah kos rendah dan sederhana rendah dieksploitasi oleh pihak pemaju sehingga mereka perlu membayar antara RM120,000 sehingga RM180,000 bagi pakej tambahan yang ditawarkan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN