Kerajaan Negeri komited pastikan rakyat negeri ini mendapat infrastruktur serta persekitaran kediaman selesa selaras Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kekal komited dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat infrastruktur dan persekitaran kediaman selesa selaras dengan Visi Penang2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan keluarga.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa transformasi fizikal ke atas kediaman bertingkat terutamanya, bukan sahaja mampu memberikan wajah baharu, malah juga mewujudkan suasana lebih ceria dan harmoni kepada penduduk setempat.

 

“Selain itu, isu-isu berkaitan penyelenggaraan juga adalah amat penting dan kita (Kerajaan Negeri) mahu semua penduduk mengambil berat akan isu berkaitan (kediaman masing-masing).

 

“Sebagai penduduk di kediaman bertingkat seperti ini, perlu ada rasa tanggungjawab untuk menjaga persekitaran agar bersih serta selesa supaya semua dapat merasai kehidupan yang bahagia.

 

“(Dan) sekiranya terdapat sebarang kerosakan, boleh hubungi pihak berwajib untuk tindakan segera,” ucapnya ketika hadir merasmikan kerja-kerja mengecat semula dan kerja-kerja berkaitan di Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin dekat Pengkalan Kota pagi ini.

KETUA Menteri (dua dari kanan) bersama-sama Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri) dan Daniel Gooi Zi Sen (kiri sekali) menyempurnakan gimik permulaan kerja-kerja mengecat semula Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin pagi ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perumahan, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Pengerusi Persatuan Penduduk, Ng Swee Nyeoh serta beberapa wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Timur Laut dan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri.

 

Mengulas mengenai kos mengecat semula Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin, Kon Yeow memberitahu bahawa sejumlah RM284,900 telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja berkaitan yang mengambil masa selama 24 minggu sejak Jun lalu.

 

“Selain rumah pangsa di Gat Lebuh Noordin ini, terdapat dua lagi projek menaik taraf sedang dijalankan iaitu di Rumah Pangsa Batu Lancang dengan kos RM386,000 dan di Rumah Pangsa Desa Wawasan dekat daerah Seberang Perai Tengah (RM1,552,255).

 

“Saya berharap semua penduduk yang terlibat dengan kerja-kerja menaik taraf dapat memberikan kerjasama supaya ia dapat disiapkan mengikut waktu yang telah dirancang,” serunya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak terlibat bermula daripada pemilihan skim warna sehingga selesai kerja-kerja berkaitan kelak.

KALI terakhir rumah pangsa ini dicat adalah pada tahun 2005.

Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin merupakan antara kediaman bertingkat paling awal dibina di Pulau Pinang. Dengan lokasinya yang terletak antara laluan utama ke pusat bandar dan kawasan tumpuan pelancongan, sememangnya kerja-kerja mengecat semula bangunan 384 unit rumah tersebut akan memberi wajah baharu yang lebih segar.

 

Sementara itu, Jagdeep ketika ditemui menyatakan bahawa sejak 2008 kos penyelenggaraan yang melibatkan penyelenggaraan kecil, lif, pembetungan, kontrak kebersihan, perkhidmatan kawalan keselamatan, pembayaran utiliti dan cukai pintu menelan belanja sebanyak RM76,736,309.02.

 

Manakala, tambahnya, di bawah Belanja Pembangunan P01 yang membabitkan kerja-kerja membina taman permainan, landskap, cat, baik pulih keretakan struktur, tangki air, pam air dan sistem perpaipan pula menelan kos RM100,057,670.55.

 

“Hal ini bermakna, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sejumlah RM176,793,979.57 bagi tujuan penyelenggaraan di perumahan awam di negeri ini.

 

“Bukan itu sahaja, kerja-kerja mengecat di perumahan awam kos rendah sejak 2008 juga melibatkan suatu jumlah yang besar iaitu RM4,002,272.68.

 

“Inilah komitmen Kerajaan Negeri kepada rakyat di negeri ini seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri sebelum ini,” ujar beliau sambil mengulangi komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 30 Ogos lalu bagi Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP2020).

 

“Permohonan tersebut melibatkan penggantian lif sebanyak 33 unit, tangki (169 unit), bumbung (320), cat bangunan (18 blok), pembaikan harta bersama (18 blok) dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sebanyak 54 unit.

 

“Keseluruhan projek tersebut membabitkan perbelanjaan berjumlah RM28,764,000 yang dipohon,” jelasnya.

 

Malah, menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri turut membuat permohonan bagi Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM2020) dengan jumlah RM72,134,683.59 iaitu 34 permohonan kerja daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 87 daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS