Kerajaan Negeri komited pelihara kampung tradisional – Jagdeep

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited untuk memelihara kampong-kampung tradisional di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga kini kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengenal pasti lebih daripada 600 kampung tradisional di seluruh negeri Pulau Pinang.

Jelasnya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini sedang mencari jalan dan meneliti pendekatan terbaik bagi meningkatkan daya huni di kampung-kampung ini.

“Penting untuk kita (Pulau Pinang) agar terus memelihara kampung-kampung tradisional di tengah-tengah pembangunan negeri yang sedang pesat.

“Usaha ini telahpun dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Teknikal negeri yang dihadiri oleh saya sendiri, kita akan melihat kepada ciri-ciri kampung yang telah dikenal pasti untuk kerja-kerja pemeliharaan,” ujarnya ketika melancarkan pembukaan Taman Poket di Kampung Sheikh Eusoff pada 19 April lalu.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer, Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Datuk Keramat dan Pengerusi Masjid Sheikh Eusoff, Yusof Yaacob.

Mengulas lanjut mengenai pembukaan Taman Poket tersebut, Jagdeep memaklumkan bahawa ia adalah sebahagian daripada projek transformasi oleh MBPP dengan peruntukan Majlis berjumlah RM48,000.

“Kawasan ini dulunya merupakan tempat pembuangan sampah yang akhirnya menjadi tempat pembiakan haiwan perosak termasuk ular.

“Projek transformasi ini mengambil masa setengah tahun untuk disiapkan dan saya gembira melihat kawasan ini telah berubah wajah malah memberikan kegembiraan buat kanak-kanak di kampung ini untuk beriadah,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Serentak itu bersempena Ramadan, Jagdeep menyumbangkan barang keperluan harian kepada 700 penerima terpilih.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN