Usaha murni MJMC teruskan khidmat bakti kepada masyarakat kala pandemik dipuji

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memuji usaha murni Persatuan Saudagar-Saudagar Permata Dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) dalam meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) walaupun dalam tempoh pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa MJMC bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membantu kepentingan ahli-ahli persatuan malah turut menyumbang kepada masyarakat di negeri ini.

Kon Yeow hadir memeriahkan Majlis Iftar dan Meraikan Penerima Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang anjuran MJMC dekat sini sebentar tadi

“Pendekatan MJMC membenarkan bangunan persatuan digunakan sebagai dewan masyarakat bagi manfaat dan kemudahan sokongan kepada masyarakat setempat adalah wajar dipuji.

“Malah, saya difahamkan bahawa pada tahun-tahun sebelum ini, MJMC turut menyampaikan bantuan kepada kira-kira 250 individu dalam majlis sebegini, namun pada tahun ini, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), bantuan disampaikan terus kepada para penerima.

“Ini merupakan satu langkah yang bijak dan terbaik kerana sememangnya dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19, kita semua perlu bersatu dan bekerjasama,” ucapnya pada Majlis Iftar dan Meraikan Penerima Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang anjuran MJMC dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Presiden MJMC, Dr. Anvar Hussain; Naib Presiden, Munower Sadiq dan Kader Ali Khan serta barisan ahli jawatankuasa persatuan berkaitan.

Menyantuni tetamu yang hadir.

Mengulas mengenai permohonan pihak MJMC supaya Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah aliran trafik di Lebuh Ah Quee, Kon Yeow memberitahu bahawa perkara itu akan dibangkitkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk dikaji semula.

“Permohonan pihak persatuan adalah supaya laluan di Lebuh Ah Quee dijadikan satu aliran berbanding dua aliran kini yang menyebabkan kesesakan.

“Oleh itu, perkara ini akan dibawa sekali lagi kepada pihak Jawatankuasa Infrastruktur MBPP untuk dikaji semula,” ulasnya.

Pada kesempatan sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli MJMC yang menerima Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

“Tahniah serta syabas saya ucapkan. Semoga dengan penghargaan ini, ia dapat meningkatkan iltizam dan terus bersemangat dalam memberikan khidmat serta bakti kepada masyarakat, sekaligus membantu merealisasikan Visi Penang2030,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anvar yang turut berucap sebelum itu menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menghadapi pandemik COVID-19 demi keselamatan serta kepentingan rakyat di negeri ini.

“Ketua Menteri juga bersikap tegas dan lantang dalam menyatakan pendirian-pendirian penting Kerajaan Negeri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 dan PKP 2.

“Semoga keperihatinan yang ditunjukkan ini akan berterusan demi manfaat dan kesejahteraan seluruh rakyat Pulau Pinang,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS