Kerajaan Negeri komited promosi gaya hidup sihat, perkenal Sukan Untuk Semua

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif secara holistik dan menyeluruh di dalam kalangan penduduk Pulau Pinang melalui penganjuran program Sukan Untuk Semua.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, aktiviti ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mengusahakan penganjuran sukan secara bertema pada setiap bulan sepanjang tahun 2019.

Menurut Lip Chee, antara sukan yang akan diketengahkan adalah catur, Xiang Qi, bola keranjang, bola tampar, floorball, petanque, handball dan sepak takraw.

Sukan dan permainan memainkan peranan yang sangat penting kepada perkembangan kanak-kanak.

Mereka yang terlibat secara aktif dalam sukan dan permainan didapati lebih mudah untuk menerima pembelajaran kerana ia bukan hanya melibatkan fizikal tetapi juga memberi kesan terhadap perkembangan diri secara menyeluruh.

Justeru, saya menyeru semua rakyat Pulau Pinang agar tidak mensia-siakan usaha kerajaan menyediakan kemudahan sukan memandangkan kos membinanya mencecah jutaan ringgit, ambillah insiatif ini dengan meluangkan sedikit masa sekurang-kurangnya dua kali seminggu sambil memantau anak-anak bersukan dan bermain di luar,” ujarnya pada Majlis Perasmian Program Catur Untuk Semua : Sukan Untuk Semua di salah sebuah kompleks membeli-belah di sini pada 13 Januari lalu.

Hadir sama Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah, Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar), A. Kumaresan (ADUN Batu Uban), Datuk Seri Wong Siew Hai (Presiden Kelab Kiwanis Pulau Pinang) dan Frederick Tan Teck An (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP)

Program Catur Untuk Semua : Sukan Untuk Semua adalah anjuran bersama di antara Kerajaan Negeri dengan Persatuan Catur Pulau Pinang dan Kelab Kiwanis Pulau Pinang.

Menurut Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal, bagi bulan Januari, sukan dan permainan catur serta Xiang Qi akan diketengahkan kepada umum.

Pertandingan yang diadakan membolehkan orang ramai untuk mengambil bahagian, secara luarannya permainan catur mungkin tidak lebih sebagai satu lagi jenis sukan tetapi bagi mereka yang pernah mencuba dan mengenali permainan ini, ia lebih dilihat sebagai satu seni yang menguji kepantasan berfikir seseorang individu.

Biasanya catur ini dimainkan sebagai aktiviti riadah, tidak kurang juga yang bermainnya secara serius dengan menyertai pertandingan hingga ke peringkat dunia dan terdapat banyak variasi permainan catur dimainkan di dunia, antara yang popular adalah shogi di Jepun dan janggi di Korea.

Selain pertandingan, kita juga mengadakan Klinik Pengajaran Catur dan Xiang Qi, penyertaan yang diterima amat memberangsangkan,” ujarnya.