Kerajaan Negeri komited rancak kembali industri pelancongan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited bagi merancakkan kembali industri pelancongan negeri meskipun sektor berkaitan dalam negara dijangka pulih secara beransur-ansur akhir tahun ini dan stabil pada 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa untuk membantu para pemain industri pelancongan bangkit daripada kesan akibat pandemik COVID-19 yang merupakan krisis kesihatan global, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan terkemuka di Malaysia.

Menurut beliau, tahun lalu (2019), kita (Pulau Pinang) menerima 6.39 juta pelancong tuntas menjadikan Pulau Pinang antara lima negeri teratas yang mencatatkan tetamu hotel tertinggi dalam negara.

“Memandangkan industri pelancongan merupakan tonggak asas kemajuan sosioekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Sistem Akreditasi Pulau Pinang kepada pengendali pelancongan yang berjaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa penularan wabak COVID-19 dalam membina keyakinan orang ramai untuk datang ke sini.

“Malah, satu laman sesawang baharu turut diperkenalkan iaitu Penang Travel Deals yang berfungsi sebagai platform bagi pengusaha hotel serta pemain industri pelancongan mengiklankan promosi produk mereka secara berterusan, di samping menjalinkan kerjasama untuk menawarkan pelbagai promosi bagi menarik pelancong tempatan ke sini (Pulau Pinang).

“Saya yakin, inisiatif yang diperkenalkan ini akan membantu Pulau Pinang untuk terus maju sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Courtyard by Marriott Penang dekat 218 Jalan Macalister di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, PETACH) dan Zairil Khir Johari (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir).

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tropicana, Tan Sri Datuk Tan Chee Sing; Dion Tan (Pengarah Urusan Kumpulan Tropicana); Cindy Yoong (Pengarah Pemasaran (SEA), Marriot International) dan Subash Basrur (Pengurus Besar Courtyard by Marriott Penang) turut serta.

Selain itu, sementara menunggu sempadan antarabangsa dibuka semula kepada pelancong asing, Kon Yeow berharap kempen Jom Experience Penang yang telah dijenamakan semula akan terus melonjakkan tempahan hotel dalam kalangan pelancong tempatan.

“Walaupun dalam keadaan yang mencabar kini, kadar penghunian di hotel-hotel dekat sini semakin beransur pulih dengan kadar di antara 78 sehingga 100 peratus terutamanya ketika hujung minggu,” maklumnya.

Terdahulu, pelancaran satu lagi jenama hotel Courtyard by Marriott Penang bakal menjadi nilai tambah kepada pilihan hotel serta industri pelancongan di Pulau Pinang dengan meningkatkan peluang pekerjaan dan ekonomi tempatan.

Courtyard by Marriott Penang dibangunkan oleh pemaju hartanah Tropicana Corporation Berhad dengan kerjasama Marriott International.

Dibangunkan dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM334.7 juta, Courtyard by Marriott Penang terdiri daripada 211 unit neo suites, servis kediaman (88) dan premis komersial (20).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: DARWINA MOHD. DAUD