Pelitup muka edisi terhad Lembaga Muzium demi jana pendapatan suri rumah

GEORGE TOWN – Tekat manik nyonya, antique ceiling lamp, acuan kuih bahulu, embossed collection, signature green flora and fauna antara 15 corak artifak menarik pelitup muka yang dipromosikan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP).

Mengulas lanjut, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin berkata bahawa penjualan pelitup muka hasil lukisan dan artifak seni edisi terhad oleh LMNPP merupakan inisiatif kreatif ekonomi dalam membantu perniagaan tempatan.

“Adalah diharapkan bahawa penglibatan suri rumah dalam menjahit serta menjual aksesori kreatif itu dapat menjana pendapatan tambahan keluarga masing-masing.

“Selain itu, apabila dipakai, ianya juga dapat mempromosikan karya hasil seni anak tempatan demi mewujudkan kesedaran serta menyemarakkan rasa kekitaan terhadap warisan negara dan asal usul kita.

“Malah, dengan penghasilan pelitup muka fabrik (berpenapis) yang boleh dicuci, ianya juga dapat mengurangkan jumlah pelitup muka pakai buang,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Rasmi Edisi Terhad Pelitup Muka Fabrik LMNPP di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad memberitahu bahawa setiap karya seni yang tertera pada pelitup muka tersebut mempunyai penerangan yang disertakan khas.

“Bahan yang digunakan bersama penapis adalah disahkan selamat, penapis boleh ditukar, manakala pelitup muka boleh dibasuh dan seunit pelitup muka dijual pada harga RM20,’’ jelasnya.

Tambah Haryany, karyawan-karyawan terkenal seperti Datuk Chuah Thean Teng, Syed Sallah Syed Mustafa, Khoo Sui Hoe, Foo Hong Tat, Syed Ahmad Jamal merupakan antara artis yang terlibat dalam menyediakan konsep lukisan kreatif pada pelitup muka edisi terhad LMNPP berkenaan.

Pembelian boleh dilakukan melalui aplikasi WhatsApp ke 017-7601349 atau laman rasmi Facebook Penang State Museum & Art Gallery.