Kerajaan Negeri komited sokong program kebajikan, pendidikan babit Saudara Baharu

Admin

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa pihaknya akan terus memberi sokongan dalam penganjuran program bersifat kebajikan dan pendidikan khusus kepada Saudara Baharu di negeri ini.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat berkata demikian ketika berucap dalam acara Makan Malam Sempena Majlis Mahrajan Amal Islami Saudara Baharu dan Festival Sukan Orang Asli Islam Peringkat Kebangsaan pada 16 Ogos 2019.

“Saya sentiasa memberi sokongan padu kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) semua agensi berkaitan agama (Islam) di negeri ini terutamanya daripada aspek pengukuhan ilmu-ilmu Islam serta aktiviti agama bagi tujuan pemantapan keimanan dalam kalangan saudara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal pada majlis yang dihadiri hampir 600 perwakilan di sini.

Sebelum itu, Ahmada Zakiyuddin bersama-sama Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim mengiringi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bagi menyempurnakan acara perasmian majlis tersebut.

Turut serta, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; dan Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Long.

Bercakap pada pentas sama, Mohamad Nordin memberitahu bahawa karnival sukan tersebut adalah julung kali dianjurkan JAKIM dengan menggabungkan penyertaaan Saudara Baharu daripada kalangan orang asli dan pelbagai etnik lain.

“Apa yang istimewa dalam penganjuran pada kali ini antaranya acara karnival sukan turut disertai oleh orang asli yang belum memeluk agama Islam juga,” ujarnya.

Ahmad Zakiyuddin dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Pulau Pinang kerana sudi menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara Persekutuan pada kali ini.

“Harapan kami (JAKIM) agar melalui program ini, ia dapat menghasilkan nilai-nilai Rahmah berdasarkan gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin (Islam adalah rahmat ke seluruh alam),” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD