Projek tambakan laut dijalankan sebelum ini bukan melibatkan Kerajaan Negeri – Kon Yeow

Admin

PENANTI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa rundingan bagi pemberian saguhati kepada pihak-pihak terlibat dalam projek tambak laut di perairan selatan pulau negeri ini (PSR) masih belum dimulakan.

“Setakat ini sekiranya PSR dijalankan, maka ia adalah projek negeri yang pertama dilaksanakan.

“Sememangnya ada formula untuk memberikan sagu hati kepada pihak-pihak terlibat dan rundingan mengenai perkara itu masih belum bermula.

“Setelah (projek) bermula, perincian dan pengisian (saguhati) boleh dimulakan, tetapi buat masa ini ia masih dalam peringkat terlalu awal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang dekat Laman Padi Jeti Kampung Terus, di sini pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) yang mendakwa masih ada pampasan yang belum dilunaskan oleh Kerajaan Negeri kepada pihak-pihak terlibat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa beberapa projek tambakan laut yang dijalankan sebelum ini adalah bukan melibatkan Kerajaan Negeri.

“Projek-projek lain bukan projek Kerajaan Negeri, misalnya di Tanjung Tokong adalah projek swasta dan Jambatan Pulau Pinang pula milik Kerajaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, bagi projek-projek lepas, saya percaya semuanya sudah ditunaikan oleh pihak-pihak terlibat.

“Namun, sekiranya mereka hendak menyampaikan sebarang rungutan boleh dibawa kepada Kerajaan Negeri, tetapi kita akan lihat sama ada ia berasas atau tidak,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Pen Mutiara menyerahkan memorandum bagi membantah projek PSR untuk perhatian Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Pada masa sama, persatuan tersebut juga menggesa Kerajaan Negeri supaya berusaha mencari pendekatan alternatif yang sesuai untuk menyelesaikan sebarang konsesi tertunggak daripada projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS