Kerajaan Negeri komited tambah kawasan lapang galak aktiviti rekreasi komuniti setempat – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kiri) diiringi Phee Boon Poh (dua dari kiri) dan beberapa individu lain menyempurnakan acara gimik perasmian Taman Rekreasi Bahagia Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi di sini pada 3 Jun 2023.

MACHANG BUBUK – Kerajaan Negeri berharap usaha mentransformasikan kawasan lapang seluas 1,567.52 meter persegi dekat Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi sebagai lokasi rekreasi bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitar perkampungan tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Taman Rekreasi Bahagia Pusat Jagaan Sejahtera dekat Kampung Permatang Tinggi di sini pada 3 Jun 2023.

“Serentak itu, saya juga berharap agar masyarakat di persekitaran perkampungan kawasan ini dapat bersama-sama menjadikan Taman Rekreasi Bahagia ini sebagai salah satu pusat rekreasi riadah untuk aktiviti keluarga dan kemasyarakatan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkenaan sebentar tadi.

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri hari ini senantiasa komited menambah kawasan lapang untuk aktiviti rekreasi sebagaimana berlandaskan gagasan Visi Penang2030.

“Saya berharap dengan penambahan kawasan-kawasan lapang ini, ia dapat terus menggalakkan komuniti tempatan untuk memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan dengan sebaiknya, sekali gus melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera,” ujarnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia (MPKSM) Negeri Pulau Pinang kerana memulakan usaha merealisasikan projek tersebut.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa pada 5 Januari 2020, pihak pengurusan Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi memulakan proses permohonan sewaan tapak tanah berkenaan, lalu diluluskan oleh kepada Pentadbir Tanah Seberang Perai Tengah pada 4 Mac 2021.

Seusai mendapat permohonan berwajib, kerja-kerja pembersihan seperti pokok, rumput dan semak-samun, mengubah suai jalan tanah merah yang asal kepada kawasan hijau, penanaman rumput dan pokok-pokok renek, pembinaan tembok dan pagar keselamatan, penyediaan pondok, kolam ikan serta kawasan konkrit dengan pentas dimulakan bagi kegunaan aktiviti kebajikan sosial.

Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Ahli Majlis MBSP, Ong Jing Cheng merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis perasmian pembukaan taman rekreasi tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD