Perluaskan fungsi Pusat Penang2030 sebagai pusat sehenti – Ketua Menteri

Admin

SUNGAI PUYU – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap pembukaan Pusat Penang2030 sebagai fungsi pusat setempat atau ‘one stop centre’ (OSC) dapat diperluaskan lagi untuk penduduk lokal membuat rujukan mengenai dasar-dasar Kerajaan Negeri serta aktiviti kemasyarakatan berkaitan.

KETUA Menteri (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian pembukaan Pusat Penang2030 KADUN Sungai Puyu di sini pada 3 Jun 2023.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan majlis pelancaran pembukaan Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Puyu di sini pada 3 Jun 2023.

“Inilah matlamat dan objektif utama apabila kita mencadangkan penubuhan pusat ini, sebagai ‘one stop centre’ (OSC) bukan sahaja untuk sumber rujukan dan penyebaran maklumat berkaitan dasar serta program di bawah Kerajaan Negeri tetapi juga untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan serta pembangunan sosial mengikut kreativiti dan keperluan kawasan masing-masing.

“Justeru, saya berharap pengoperasian pusat ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya melalui penglibatan dan penyertaan daripada masyarakat setempat secara meluas,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memuji inisiatif Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu kerana begitu aktif menganjurkan program kemasyarakatan di Pusat Penang2030 berkaitan sejak ianya dibuka pada bulan April lepas.

“Ini merupakan Pusat Penang2030 ke-24 yang telah beroperasi secara rasminya, daripada keseluruhan 40 pusat yang kita sasarkan di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Saya difahamkan bahawa Pusat Penang2030 KADUN Sungai Puyu ini telah mula beroperasi pada bulan April lalu yang mana pelbagai program serta aktiviti telah berlangsung dengan sambutan yang amat baik dan pemnglibatan daripada komuniti setempat, termasuklah pengisian program kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang diadakan pada hari ini,” ujarnya.

Selain Boon Poh, ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Tan Chee Teong; Penghulu Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Basri Abdul Hamid; Dr. Arjan Dhillon (wakil Hospital Seberang Jaya); Tan Ghee Beng (Penyelia Pasukan Derma Darah Ci Xin, Bahagian Kebajikan Persatuan Ugama Buddha Butterworth) dan para Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) lokal turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT