Kerajaan Negeri komited tingkatkan kemahiran belia untuk kekal relevan – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Inisiatif “Belia Untuk Masa Depan” yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 27 Februari 2019 adalah bertujuan untuk menggerakkan pembangunan belia di negeri ini, kata Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan dalam pembentangan Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang 2021 di The Wembley – St. Giles Hotel dekat sini pada 29 Mac 2021.

Menurut Lip Chee, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) selaku penggerak bagi pihak Kerajaan Negeri amat komited dalam hal ehwal pembangunan dan pemerkasaan belia.

“Hal ini termasuklah aspek pembangunan kemahiran dalam ekonomi digital (digital economy) dan ekonomi gig (gig economy) yang kini menjadi trend semasa.

“(Susulan itu), Program Bakat Digital Muda atau ‘Penang Young Digital Talent Program’ diwujudkan dengan tujuan membantu golongan lepasan universiti, mahasiswa dan belia umumnya, untuk menguasai bidang digital dan menyerlahkan potensi sebenar belia.

“(Dan) melalui program ini, belia akan dilatih semula dengan kemahiran baharu dan menambah baik kemahiran atau ‘upskilling’ sekali gus membantu melengkapkan anak-anak muda kita dengan set kemahiran baharu yang relevan dengan pasaran pekerjaan terkini,” katanya.

Jelasnya ADUN Bagan Jermal itu lagi, Kerajaan Negeri juga komited meningkatkan prospek peluang pekerjaan bagi membendung pengangguran dalam kalangan belia.

“(Usaha ini) juga disokong oleh pihak swasta berkaitan melalui pelbagai aktiviti dan program antaranya menganjurkan pertandingan Youth Entrepreneurs Challenge (YEC) 2021 dan melancarkan portal khas ‘We Want You’.

“(Dan) terbaru adalah usaha untuk mewujudkan Pusat Belia di setiap KADUN di negeri ini,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD