Rancangan Pelan Induk Sukan Pulau Pinang, ke arah menjadikan Pulau Pinang kuasa sukan unggul negara

Admin

GEORGE TOWN – Pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi; pembangunan sukan massa dan pembangunan kemudahan serta fasiliti sukan merupakan tiga indikator penting ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai kuasa sukan atau ‘powerhouse’ unggul negara.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, tiga indikator itu juga turut menjadi intipati penting dalam Pelan Induk Sukan Pulau Pinang yang kini masih pada peringkat perancangan.

“Malah, indikator tersebut juga turut disertakan dalam satu kaji selidik iaitu Indeks Sukan Pulau Pinang yang sedang berlangsung (secara dalam talian) sehingga 15 April 2021 ini, bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat menyuarakan pandangan masing-masing berhubung kemudahan dan fasiliti sukan sedia ada.

“(Dan) melalui kaji selidik ini juga, diharapkan tiada pihak yang dipinggirkan untuk menikmati kemudahan dan fasiliti sukan sedia ada mengikut keperluan individu,” ujarnya ketika membentangkan pencapaian dan perancangan portfolio pada Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang 2021 di sini pada 29 Mac 2021.

Dalam sesi pembentangan itu juga, Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal turut memaklumkan inisiatif terbaru di bawah portfolionya iaitu pemetaan kemudahan dan fasiliti sukan melalui Sistem Maklumat Geografi Pulau Pinang atau PEGIS.

“PEGIS ini menyediakan pangkalan data yang lebih tepat mengenai kedudukan dan bilangan fasiliti sukan di negeri ini. Data-data pula kita (Kerajaan Negeri) peroleh daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan juga Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP).

“(Dan) hasilnya sehingga 29 Mac 2021, sebanyak 46 jenis kemudahan sukan telah disenaraikan (dalam PEGIS) dan orang awam dapat mengakses serta mendapat maklumat berkaitan melalui  laman web Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu dengan tab baru ‘Sukan’,” jelasnya.

Dalam sesi sama, Lip Chee turut mengemas kini pencapaian dan perancangan pembangunan sukan di negeri ini termasuklah program PACE (Penang Athlete Career Education) untuk jaminan pendidikan dan kerjaya masa depan atlet serta penubuhan Tabung Sukan Negeri MSNPP bagi menjayakan agenda pembangunan sukan di negeri ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD