Kerajaan Negeri libat suara penduduk, peruntuk RM284,900 cat semula Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin

PENGKALAN KOTA – Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin yang kini melangkau usia 49 tahun bakal berwajah baharu melalui projek pengecatan semula yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Daniel Gooi Zi Sen berkata, projek perumahan pangsa berkenaan yang diselia di bawah Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sejak tahun 1970 itu merangkumi 383 unit rumah.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 24 Jun baru-baru ini telah meluluskan sejumlah RM284,900 peruntukan bagi projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh AHBA Builders Sdn. Bhd..
“Projek ini dijangka mengambil masa selama 24 minggu untuk disiapkan, di mana tarikh siap kerja dijangka pada 8 Disember 2019.
“Keseluruhan peruntukan (RM284,900) adalah peruntukan Kerajaan Negeri sepenuhnya memandangkan projek ini dibawah seliaan Bahagian Perumahan Negeri sebagai pemilik projek” ujarnya ketika sidang media di sini sebentar tadi.
Hadir sama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pengkalan Weld, Loo Soo Lee.
Difahamkan, majlis penyempurnaan mula kerja akan dirasmikan oleh Ketua Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong pada 7 September ini.
Bagi menentukan skim pengecatan warna satu blok bangunan tersebut, Zi Sen berkata pihak Kerajaan Negeri akan menguna pakai sistem undian membabitkan penduduk setempat.
Justeru, beliau menyeru para penduduk Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin untuk mengambil bahagian bagi menentukan skim warna  untuk projek tersebut.
“Sebanyak tiga cadangan (warna) telah dikemukakan kepada Bahagian Perumahan, namun untuk menentukannya kita akan pilih berdasarkan undian penduduk.
“(Skim undian) ia adalah salah satu cara Kerajaan Negeri untuk melibatkan suara penduduk dan komuniti setempat di dalam perangkaan dasar dan hala tuju yang melibatkan kepentingan komuniti setempat.
“Sesi mengundi akan dijalankan pada 28 Ogos ini, bermula jam 5:00 petang hingga 8:00 malam dan undian skim warna tertinggi akan dipilih dan digunakan mewarnai bangunan ini,” ujar beliau.