Rangkul ‘Kasut Emas’ di China, Nur Azim dedikasikan kemenangan kepada ibu bapa dan jurulatih

BATU UBAN – Penerima Anugerah Kasut Emas di China, Nur Azim Assyakirin Azman tidak menyangka penyertaan sulungnya mewakili negara dalam Kejohanan Bola Sepak Remaja ASEAN Bawah 12 Tahun menjadi pengalaman manis buat dirinya.

Nur Azim yang berusia 12 tahun berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan tersebut yang disertai oleh sembilan buah negara lain seluruh dunia bagi merebut Piala Soong Ching Ling.

Meskipun skuad Malaysia meraih tempat ketiga dalam kejohanan tersebut, namun kejayaan Nur Azim merangkul Anugerah Kasut Emas selepas menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan menyumbang lapan gol buat Malaysia cukup membanggakan.

Ketika ditemui wartawan, Nur Azim berkata, beliau mendedikasikan kemenangan tersebut kepada kedua-dua ibu bapa dan juga para jurulatih yang sentiasa memberi kata-kata semangat serta dorongan semasa menjalani latihan dan juga perlawanan.

Apabila ditanyakan soalan mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang perlawanan, Nur Azim memaklumkan kekangan menyesuaikan diri dengan makanan menjadi cabaran buat dirinya sepanjang di sana.

“Saya harus menyesuaikan diri dengan makanan di sana yang kurang menepati cita rasa saya.

“Namun begitu, saya juga perlu menjaga pengambilan makanan dan kesihatan supaya dapat menjalani latihan serta menyertai perlawanan dengan baik.

“Mengenai latihan di sana (China)…tidak memberi sebarang penekanan kerana kekangan masa dan kami (bersama-sama rakan seperjuangan) menerima latihan yang secukupnya di Stadium Bukit Jalil sebelum bertolak ke Hangzhou,” katanya daripada Akademi Tunas Timur Laut.

Walaupun pada awalnya beliau risau dengan saiz tubuh badan pesaing yang jauh lebih besar berbanding dirinya, namun ia tidak menghalang beliau untuk terus bersemangat dan berusaha sepanjang perlawanan.

Nur Azim Assyakirin Azman menunjukkan pingat dan Anugerah Kasut Emas yang dimenanginya dalam Kejohanan Bola Sepak Remaja ASEAN baru-baru ini.

Nur Azim ditemui pada majlis meraikan kemenangan beliau di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Pekaka dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), A. Kumaresan yang berbangga dengan kejayaan yang dikecapi Nur Azim di persada bola sepak dunia.

“Kejayaan Nur Azim yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kasut Emas merupakan sesuatu yang membanggakan bukan sahaja bagi Pulau Pinang tetapi juga rakyat Malaysia.

“Saya berharap kejayaan Nur Azim dalam penampilan sulungnya di China menjadikan beliau sebagai produk penting kelahiran MUFA dalam arena bola sepak negara suatu hari nanti. Syabas dan tahniah, saya percaya beliau mempunyai masa depan yang cerah,” zahir Kumaresan selaku Penaung MUFA.

Usai sidang media itu, Kumaresan berkesempatan menyempurnakan pelancaran Akademik Bola Sepak Wanita MUFA yang pertama di Pulau Pinang.

Turut hadir, Presiden MUFA, Naser Medina; Timbalan Presiden MUFA merangkap Pengerusi Liga Akademi Bolasepak Pulau Pinang (LABPP) Yusri Abd. Hamid dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) merangkap Penasihat MUFA, Dastagir Mohd. Yassin.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ALVIE CHENG